Ini kisah semasa aku dalam darjah 6. Peristiwa ni berlaku di rumah Atuk aku di Ulu Langat, Selangor. Rumahnya separuh papan 2 tingkat...rumah pusaka semenjak dari zaman Inggeris... nampak usang sikitlah tapi menarik mata memandang. Rumahnya dikelilingi oleh dusun buah-buahan. Suasana pada siang harinya memang menarik tapi bila tiba waktu malam...menyeramkan...sunyi...yelah ketika itu aku masih kecil lagi dan penakut...hehe
Aku memang jarang dapat balik kampung sebab tugas ayah aku sebagai anggota tentera telah membataskan cuti untuknya. Jadi kalau sekali-sekala dapat balik kampung tu memang seronok...tambahan pula kalau tengah musim buah-buahan...sampai buncit perutlah jawabnya sebab dapat melantak macam-macam jenis buah-buahan.
Kat rumah besar atuk aku ni, yang tinggal hanya atuk, nenek dan keluarga makcik Wok aku sahaja. Rekabentuk rumah atuk aku ni, ala-ala campuran keinggerisan dan melayu selangor . Walaupun dibuat daripada separa batu dan kayu tetapi keaslian dan kesenian pada corak ukiran kayunya amat halus dan cantik sekali. Rumahnya besar jugalah, kalau aku main sorok-sorok tu memang susah gak nak cari. Aku memang suka sangat dengan rumah dan dusun buah-buahan atuk. Semuanya di kampung membuatkan aku rasa gembira yang teramat sangat. Tetapi rasanya mungkin cuti kali ini adalah merupakan kali terakhir aku dapat tengok rumah ini dan dusun buah-buahannya. Menurut kata abang sepupuku Harun, tanah dan rumah ini akan dijual tidak lama lagi kepada seorang pemaju bagi membina sebuah taman perumahan.
Sedihnya bila aku mendapat berita tersebut...akan tiada lagi kedengaran bunyi durian gugur dimalam hari ketika mengikut atuk menunggu durian gugur di pondok, akan tiada lagi dahan manggis dan rambutan yang dapat aku panjat, akan tiada lagi buah duku, langsat dan pulasan serta pelbagai lagi buah-buahan yang dapat aku jolok dan berebut memungutnya bersama adik-beradik dan sepupu, akan tiada lagi kolam ikan tempat talapia dan berbagai lagi jenis ikan bermain, akan tiada lagi kejernihan anak sungai tempat aku bermandi-manda dan mengejar anak-anak ikan putih berenang dicelah-celah batu, tiada lagi bunyi unggas-unggas pagi yang berkicauan dan unggas malam yang berkejaran mencari makanan, akan tiada lagi udara nyaman dan segar yang dapat aku hirup di pagi hari. Tapi nak buat macamana, aku pasrah dan belajar menerima kenyataan yang segalanya akan menjadi kenangan. Kenangan akan menjadi sejarah. Itulah kehidupan...
Bukan kisah sentimental ini yang akan aku kongsikan bersama disini tetapi beberapa kisah misteri dan seram dari pengalaman aku tentang rumah atuk ini. Dari apa yang aku dengar rumah dan kebun ini ada penjaganya maksud aku dari kalangan makhluk halus, wallahualam...
Ceritanya bermula ketika aku tidur di bilik abang sepupu aku. Biasanya aku akan tidur bersama mak dan ayah di ruang tamu tingkat atas tapi entah mengapa timbul keinginan nak tidur di bilik bujang abang sepupu aku yang juga berada ditingkat atas. Mungkin agaknya dibiliknya terdapat banyak buku-buku cerita yang boleh dibaca. Untuk kebilik abang sepupu aku ni perlu naik tangga dari bahagian dapur. Biasalah bumbung rumah kampung tradisional banyak ruang-ruang angin yang terbuka sebagai sistem pengudaraan. Bab naik tangga untuk ke bilik abang sepupu aku nilah yang paling aku tak tahan...seram...bila sampai di tingkat atas, aku perlu melalui sedikit lorong gelap untuk kebahagian hadapan. Dibahagian belakang ditingkat atas sangat gelap kerana tiada lampu dan dijadikan tempat simpanan barang-barang lama dan antik. Biasanya aku akan berlari untuk ruang hadapan...dibahagian hadapan terdapat 2 bilik yang bersebelahan, satu digunakan oleh abang sepupu aku dan yang satu lagi tiada sesiapa yang mengunakannya, manakala terdapat satu ruang tamu yang besar di bahagian hadapan sekali dengan dua batang tiang seri berada ditengah-tengah antara ruang tamu. Mak, ayah dan adik-adik aku akan tidur diruang tamu ini.
Masih lagi aku ingat kata-kata abang sepupu aku sebelum melelapkan mata, "kalau kau dengar bunyi apa-apa nanti, jangan takut...diam...buat tak tahu sahaja...faham". nasihatnya secara tiba-tiba. "Kenapa bang...?" balas aku ingin tahu."Tak ada apa-apa...dah tidur pagi esok kita ke sungai, tangkap ikan...", balasnya lagi kurang senang dengan pertanyaan aku.
Entah berapa lama aku tertidur tiba-tiba aku tersedar dalam kegelapan apabila terdengar bunyi garukan dan cakaran yang kuat di dinding papan betul-betul sebelah tempat aku tidur. Jelas dan nyata sekali bunyi cakaran itu. Bunyi cakaran dan garukan itu lama dan tidak putus-putus seolah-olah ingin menembuskan kukunya pada dinding. Barulah aku faham akan ingatan abang sepupuku sebelum tidur tadi...mungkinkah ini yang dimaksudkan olehnya. Disebabkan rasa takut yang teramat sangat dengan membayangkan ada makhluk berkuku panjang dan tajam ingin mencekik leher aku, lantas aku mula mengesotkan badan sedikit demi sedikit menjauhkan diri dari dinding tersebut. Setelah aku rasa berada jauh dari dinding, barulah aku berhenti mematikan diri dengan menarik selimut menutup seluruh badan sambil mendengar cakaran dinding yang entah bila akan berhenti dan lama-kelamaan aku tak sedar bila aku terlelap, yang aku sedar sinar matahari dah memancar semasa abang sepupuku membuka tingkap bilik.
Bila teringatkan peristiwa malam tadi aku lantas bangun menuju ke tingkap untuk melihat dinding yang digaru dan dicakar. Peliknya di bahagian luar dinding tiada lantai atau tangga untuk sesiapa yang boleh memanjat kecuali boleh menggaru atau mencakar dengan cara terbang atau terapung di udara. lagi pelik tiada pula sebarang tanda atau bekas cakaran yang kelihatan. Bila aku bertanya sama ada abang sepupu aku dengar tak bunyi garukan dan cakaran malam tadi dia hanya menggangukkan kepalanya dan bila aku tanya apa bendanya tu...dia menyuruh aku jangan ambil tahu sebab nanti aku takut dan tambahnya lagi sejak akhir-akhir ini bunyi sebegitu kerap kali berlaku..meremang bulu roma bila aku mendengar ceritanya...seram...dan kemudian aku disuruh bersiap segera untuk ke sungai...akhirnya persoalan yang bermain di kepala aku terputus disitu sahaja kerana kejernihan air sungai dan anak-anak ikan bermain di gigi air dan dicelah-celah batu. Malam-malam seterusnya aku tidur diruang tamu tingkat atas bersama mak dan ayah...bukan kerana takut tapi seram...hehe
Dan disebabkan terlupa ingin bertanya semula apa bendanya yang mengaruk dan mencakar dinding rumah Atuk pada malam itu maka sehingga kini persoalan dan misteri tersebut belum padam dari benak kepala ini. Nantilah kalau ada peluang berjumpa semula dengan abang sepupu aku tu, aku akan bertanyakan persoalan ini. Harap-harap dia masih ingat dan dapat memberi penjelasan apa yang berlaku sebenarnya agar terungkai segala misteri selama ini.
No comments:
Post a Comment