Showing posts with label Perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label Perkahwinan. Show all posts

Tuesday, April 13, 2010

Selamat Pengantin Baru...

~1~
~2~
~3~
~4~
~5~
~6~
~7~

Selamat Pengantin Baru diucapkan kepada adindaku Norsulhaina dan Farouk semoga berbahagia dan kekal sehingga ke akhir hayat. Majlis Perkahwinan mereka berlangsung di Melaka pada 28 Mei 2010.

Friday, January 8, 2010

Indahnya Budaya Melayu....

sambungan dari (5).........(6)


Memulakan Acara

Makan sudah,
Minum pun sudah,
Pembasuh mulut sudah dinikmati.
Sudu dan garfu sudah diletakkan,
Tangan yang berkuah sudah dibasuh,
Bibir yang berminyak sudah dilap,
Marilah kita mulakan acara...

............

Tepung Tawar

Tepung Tawar adat sejati,
Tidak berpisah sampai mati.
Tepung tawar berberas bertih,
Supaya hati sentiasa kasih.
Tepung tawar berberas kunyit,
Supaya jauh semua penyakit.
Tepung tawar berbunga rampai,
Biar dikasih sahabat handai.
Tepung tawar mengandung inai,
Sehingga mati baru bercerai.

...........

Selesai Tepung tawar

Tepung tawar sudah berlalu,
Diiring doa restu,
Semoga kasih makin berpadu.
Bagai ruas dengan buku,
Bagai daging dengan kuku.
Hidup di air satu perahu,
Hidup di darat satu kelambu.
Bagai aur dengan tebing,
Bagai kuku dengan daging.
bagai mata putih dengan mata hitam,
Bagai bintang dengan malam.
Bagai terang dengan siang,
bagai itik pulang petang.

.........

Anda juga mungkin ingin membaca coretan
Indahnya Budaya Melayu yang lalu...
dari orang lama kita




Indahnya Budaya Melayu....

dari catatan(4)......(5)

Sila Makan

Hidangan kami tidak seberapa,
Sudilah tuan jamah sahaja.
Sekadar umbut dari belukar,
Labu dari gunung.

Ikan dari paya ,
Sedikit daging dan madu lebah.
Silakan tuan jamah,

dengan Bismillah...


...........

Makan Beradat

Santap beradat, santap istiadat,
Santap mempelai majlis kebesaran,

Santap meraikan, hormat-menghormati,
Bukan santap hendakkan kenyang,

Santap santun dengan aturan,
Nasi disuap tangan kanan,
Lauk diambil sopan-santun,

Sampai ke mulut mamah perlahan,

Diiring seteguk minuman,
Dua suap ketiga sudah,

Keempat basuh tangan,
Kelima makan halwa,

Keenam makan sirih,
Kelatnya jauh ke rengkung,

Serinya naik ke muka,
Ketujuh makan buah-buahan,

Kelapan minum manisan,

Itulah santap adat kebesaran,

Dalam adat zaman berzaman.


........

Selepas Makan

Kami mohon maaf kalau...
Kuah terlebih garam,

Gulai terlebih pedas,

Kopi terlebih gula,
Nasi ada yang mentah.

Kami mohon maaf kalau...
Santan kurang lemak,
Sambal kurang pedas,
Rendang kurang serai, Ulam kurang pucuk.


ps: bersambung...
Anda juga mungkin ingin membaca coretan
Indahnya Budaya Melayu yang lalu...


Monday, January 4, 2010

Indahnya Budaya Melayu....


......(4)



Upacara berdoa untuk Pengantin

......

Sebelum berdoa


Tetak buluh panjang sepuluh,
mari jolok sarang penyengat.

Angkat tangan jari sepuluh,
Doa diminta dibiar selamat.

..............

Doa Majlis Persandingan


Ya Allah
Engkaulah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Maha Melindungi lagi Maha Mengampuni,

Kepada-Mu-lah kami meminta segala pertolongan.


Ya Allah,
Sampaikanlah salam dan selawat kami kepada Nabi Besar
junjungan kami Nabi Muhammad SAW.



Ya Allah,

Sampaikanlah salam dan selawat kami kepada ahli-ahli keluarga baginda,
Dan kepada sahabat-sahabat baginda,
Kepada para solihin,
Para mukminin dan mukminat,

Dan para syuhadah,

Yang sudah pergi mendahului kami.



Ya Allah,
Dalam majlis yang permai ini,
Kami memohon kepadaMu,
Ampunilah kedua mempelai yang diraikan malam ini,

Ampunilah kedua ibu bapa mereka,

dan kaum keluarga serta saudara-saudara mereka.



Ya Allah
Ampunilah kami sekelian yang hadir dalam majlis ini,
dan ampunilah kedua ibu bapa kami,

dan kaum keluarga serta saudara-saudara kami.



Ya Allah,
Berkatilah perkahwinan ini,
Sebagaimana Engkau memberkati perkahwinan

Junjungan kami dengan Siti Khadijah dan Siti Aishah,


Sebagaimana Engkau memberkati perkahwinan

Nabi Ibrahim dengan Siti Hajar dan Siti Sarah,

Sebagaimana engkau memberkati perkahwinan
Nabi Yusuf dengan Siti Zulaikha,


Sebagaimana Engkau memberkati perkahwinan

Nabi Adam dengan Siti Hawa.


Ya Allah
Kami bermohon kepadaMu,
Rahmatilah kedua mempelai ini,
Jadikanlah mereka pasangan yang soleh,
Kurniakanlah kepada mereka keturunan yang soleh.


Ya Allah
Berkatilah mempelai ini dengan kesihatan yang baik, Anak-anak yang baik, Harta daripada rezeki yang baik, Dan jiran tetangga yang baik.


Ya Allah
Bantulah mempelai yang kami raikan ini, Mengeratkan tali silaturrahim kedua keluarga, Menjaga hubungan dengan ibu bapa mertua dan ipar duai mereka, Supaya tidak ada keluarga yang berasa kehilangan, Masing-masing berasa mereka mendapat anggota tambahan.

Ya Allah
Jadikanlah pengantin lelaki malam ini suami yang sangat lembut kepada isterinya, Jadikanlah pengantin perempuan ini isteri yang sangat taat dan patuh kepada suaminya.


Ya Allah
Berikanlah keinsafan dan peringatan kepada mempelai ini,
Keredhaan Allah ke atas anak bergantung kepada
keredaan ibu bapanya,
Keredhaan Allah ke atas isteri bergantung kepada
keredhaan suaminya.
Maka janganlah sampai mereka mendahulukan
kepentingan diri mereka daripada mendahulukan
kepentingan ibu bapanya.


Ya Allah
Engkaulah Tuhan yang Maha Pemurah Lagi Maha
Mengasihani,
Kabulkanlah doa kami,

AMIN Ya Rabbul Alamin




bersambung......

Anda juga mungkin ingin membaca coretan
Indahnya Budaya Melayu yang lalu...
dari orang-orang lama...


ikutilah coretan seterusnya dari...

Indahnya Budaya Melayu....

......(3)


Pengantin Tiba


Orang ke laut menjala udang
petang hari pasang pelita.

Yang ditunggu sudah pundatang,
Yang dinanti sudah pun tiba.

........

Mempersilakan pengantin Naik Pelamin

Paduka Raja sudah tiba,
Pemaisuri sudah menanti.

Para pahlawan sudah berdiri,
Dayang-dayang sudah bersimpuh.

Gong sudah dipalu,
Selawat sudah dibaca.


Permaidani sudah dibentang,
Tepung tawar sudah tersedia.

Persada bersanding sudah dihias,
hadirin sudah lama menunggu.

Capal sudah ditinggalkan,
Kaki sudah dibasuh.

Silakan naik, majukan langkah...


bersambung....

Anda juga mungkin ingin membaca coretan
Indahnya Budaya Melayu yang lalu...
dari orang-orang lama...





tunggu coretan seterusnya dari...

Indahnya Budaya Melayu....


......(2)

Menghargai Tetamu


Tuan datang dari dekat dan dari jauh,
Memanjat tujuh gunung,
menyeberangi tujuh lautan
,
Akhirnya sampai juga ke pondok kami.

Disawah tuan padi sedang masak,
Pipit sudah mula datang,

Elok hari sedang panas,
Musim hujan hampir tiba,

Sanggup tuan tinggalkan,

Semata-mata kerana menerima undangan kami.

Didusun tuan durian sudah mula jatuh,
Rambutan sedang merah menyala,

Manggis hampir hitam,
Beruk sudah datang,
Tupai makin banyak,

Sanggup tuan tinggalkan,
Untuk makan dikenduri kami.

Kapal di pengkalan sudah menunggu,
Tiket sudah dibeli,

Tuan tidak jadi naik,
Kerana teringatkan undangan kami.

........

Memuliakan Tetamu


Yang besar disebut gelarannya.
Yang kecil disebut namanya
,

Yang raja dimuliakan daulatnya,
Yang dato' dimuliakan tuahnya.


Yang penghulu dimuliakan ilmunya,
Yang ulamak dimuliakan alimnya.

Yang pandai dimuliakan bijaksananya,

Yang tua dimuliakan
pengalamannya.

Yang muda disayangi,
Yang kecil dikasihi.




Bersambung....

Anda juga mungkin ingin membaca coretan
Indahnya Budaya Melayu yang lalu...
dari orang-orang lama...




ps:tunggu coretan seterusnya dari...



Sunday, January 3, 2010

Indahnya Budaya Melayu....


......(1)

Kita
selalu menghadiri majlis-majlis pertunangan dan perkahwinan. Kita juga selalu dapat melihat dan mendengar pantun dan gurindam dialunkan oleh orang-orang lama.

Tetapi sedarkah kita yang suatu hari nanti orang-orang lama ini akan pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Yang tinggal hanyalah kenangan. Kenangan manis melihat telatah orang-orang lama kita...bergurau senda, usik-mengusik... ada yang bersila juga ada yang bersimpuh...berbalas-balas pantun sudah semestinya. Harmoninya suasana itu...hubungan silaturrahim mula bertaut mesra tanda persetujuan satu ikatan dua keluarga dengan hati yang penuh keikhlasan dan kerelaan.

Kenangan tetap kenangan. Kita sekarang mewarisi peninggalan. Apa yang ditinggalkan adalah keindahan. Keindahan budaya dari generasi lama kita.

Siapa pula giliran Sang Pemantun pembuka bicara , siapa pula yang bakal menyambut pantun dan seloka dan siapa pula bakal Sang Pembawa Majlis...

Kitalah bakal menjadi orang-orang lama. Orang-orang lama yang bakal mewariskan budaya lapok kepada anak-anak dan cucu-cucu kita.

Jangan sesekali kita menjadi melayu hanya pada nama. Melayu akan menjadi layu jika hilang identitinya.

Untuk coretan kali ini aku ingin palitkan pantun dan seloka. Pantun dan seloka peninggalan orang-orang lama yang sempat aku kumpulkan untuk tatapan bersama. Pantun dan gurindam dalam majlis masyarakat melayu kita. Terima kasih yang tidak terhingga kepada orang lama pencipta kepada pantun dan gurindam ini. Pantun dan gurindam dibawah ini digunakan semasa menguruskan majlis-majlis perkahwinan.


Pembuka Kata

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di pohon buluh,

Bukan sembah sebarang sembah,

Sembah bersusun sepuluh jari.


Bukan lebah sebarang lebah,
lebah bersarang di pohon nangka,

Bukan sembah sebarang
sembah,
Sembah dengan adat pusaka.

........

Menyambut Tetamu

Batu kecubung warna unggu,
Ditatah berlian batu bermutu,
Adat melayu menyambut tetamu,
Hamparkan tikar lebarkan pintu.

Kedatangan tetamu yang mulia,
Kami tunggu dengan dada lapang,
Kami tunggu dengan kasih sayang.


Kami sambut dengan sukacita,

kami terima dengan hati suci.


........

Undangan

Yang jauh diundang dengan surat,
Yang dekat diundang dengan tepak.

Kini yang diundang sudah tiba,

Yang dipesan sudah datang.


Yang dipanggil sudah disahut,

Kalau gayung sudah bersambut.


........

Apabila tetamu semua sudah sampai

Yang dari bukit datang menurun,
Yang dari lembah datang mendaki.


Yang dari pulau datang berlayar,

Yang dari hulu datang berdayung.


Yang buta datang bertuntun,
Yang tempang datang bertongkat.


Sekarang....

semua sudah berhimpun dimajlis ini.


Yang duduk sudah bertemu lutut,
Yang berdiri sudah bertemu bahu.


Atas nama yang empunya majlis,
Atas nama yang empunya hajat,
Atas nama kaum kerabat,

Ketibaan jemputan yang mulia,

Kami sambut dengan adat.


Bersambung......

tunggu coretan seterusnya dari...

Thursday, October 29, 2009

SELAMAT PENGANTIN BARU...

Adik & kakak Ipar yang sebaya :)

Adik & Bonda....

Bersama sebahagian daripada family....

Manizah dan Suami bersanding dipelamin di lengkapi
pakaian Tradisi Orang Melaka - Sanggul Lintang

Kahwin serentak ni...Jimat sikit belanja...
meriah pun meriah...tak percaya cuba tengok muka pengantin tu...senyum je...

Selamat Pengantin Baru buat dua orang adikku, Saifulanuar & Latifah, Maniza & Fairuz yang berlangsung pada 11.10.2009 di Melaka. Semoga perkahwinan mereka berkekalan hingga akhir hayat..

Tuesday, October 13, 2009

Gambar Perkahwinan Aku...



Ini adalah gambar perkahwinan aku yang berlangsung pada 26 Disember 2003.

Tuesday, October 6, 2009

Selamat Pengantin Baru......

Selamat Pengantin Baru diucapkan kepada adik sepupuku Zaimah binti Mahmud dan Suami yang berlangsung pada 26 September 2009. Semoga berbahagia dan berkekalan hingga ke anak cucu....
Protected by Copyscape Plagiarism Software