Pelik aku lihat kepala masing-masing mendongak ke atas. Ohhh...patutlah rupa-rupanya mereka sedang menyaksikan wau atau layang-layang yang sedang berterbangan di awan biru. Ini pengalaman pertama aku melihat pertandingan wau seperti ini.
Menurut salah seorang penduduk di situ pertandingan seperti ini memang selalu diadakan disini. Pesertanya bukan sahaja datang dari kalangan orang tempatan tetapi juga dari kampung-kampung luar. Menurut beliau lagi pemain wau berpeluang menjadi juara sekiranya benang wau semakin tegak di atas kepala. Kalau condong je sudut antara badan dan tali wau tu bermakna kurang le berpeluang untuk menang. Katanya lagi hari ini adalah pertandingan wau bulan, minggu hadapan akan diadakan pertandingan wau barat pula. Jom kita lihat foto-foto yang sempat aku rakamkan semasa melihat Pertandingan Wau di Kg. Mak Chili Kemaman untuk dikongsikan bersama.
Tak ke pelek bila tetibe je nampak suasana macam ini...ooo...rupa-rupanya mereka sedang mendongak tengok Wau...
Aktiviti sihat yang dapat menyatupadukan masyarakat...tua...muda...bersama-sama melakukan aktiviti yang sama...hebat orang-orang Ghanu Kite nihh...
Haa..jom kita donggak ke langit...
~4~
Pemain-pemain Wau...
~5~
Jom, giliran kite pulok maing wau...
~6~
Isk...isk...bertungkus lumus abang-abang kita nih...jaga-jaga wau nak jatuh tuh...
~7~
Inilah para juri yang mengadili pertandingan wau bulan tersebut...
Haa..ini pula salah seorang dari pemain wau bulan dari Kg. Mak Chili...Generasi muda yang bakal membawa budaya ini ke generasi seterusnya agar tidak berlaku kepupusan...Syabas...orang-orang kampung Mak Chili, Kemaman Terengganu...
Fakta:-
Permainan wau atau layang-layang mengandungi unsur-unsur budaya Melayu asli terutama pada bentuk layang-layang atau wau itu sendiri. Di Malaysia lazimnya permainan layang-layang dilakukan selepas musim menuai padi atau pada masa nelayan tidak dapat pergi ke laut menangkap ikan.
Antara jenis layang-layang ialah Layang-layang Baruk, Layang-layang Puyuh, Layang-layang Burung, Pari, Katak, Bayan, Merak, Kucing, Jala budi, Lenggang kebayan, Sewah, Barat dan yang terkenal ialah Wau Bulan.
Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbang stabilkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.
Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.
Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.
Bagaimana cara bermain wau?
Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.
Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.
TH: Fakta diatas dirujuk dari...
1) http://kebudayaan.kpkk.gov.my
2) http://malaysiana.pnm.my
huh..x sempat juga minggu depan,kena balik kg..ingat nk tengok.
ReplyDeletekerap balik kg...emm...sempat mancing tuu...hehe
ReplyDelete