Tuesday, November 23, 2010

Perkenal Anugerah Pendekar...

Terlebih dahulu TH ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada TPM kita Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atas anugerah gelaran Ulul Amri Keempat Pertubuhan Seni Silat Lincah (PSSLM) yang diterima oleh beliau pada 20 Nov 2010 lalu.

Saranan dan sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar pertubuhan silat melayu memperluaskan kegiatan bagi mengalakkan lebih ramai golongan muda menyertainya kerana dilihat mampu membentuk modal insan yang cemerlang adalah amat membanggakan anak-anak silat seluruh pelusuk tanahair.



Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim diatas sokongan beliau didalam memertabatkan Silat Melayu melalui cadangan untuk memperkenalkan Anugerah Pendekar Negara.

Cadangan Anugerah Pendekar Negara ini akan dibawa ke peringkat kabinet untuk mendapat kelulusan. Semoga perkara ini akan dapat menaikkan lagi semangat anak-anak silat untuk terus berjuang mengekalkan kesinambungan tradisi dan seterusnya memajukan lagi seni pertahanan diri warisan nenek moyang mereka.


TH: kerana apa kita perlu meneruskan warisan ini?....kerana....dalam silat ada melayu dan dalam melayu ada silat...renung-renungkanlah

Wednesday, November 10, 2010

Jom ke Bangunan Pusat Warisan Dunia George Town Penang...

Kali ini TH berpeluang untuk melihat bangunan Pusat Warisan Dunia George Town (WHO). Bangunan ini terletak di Lebuh Aceh George Town, Pulau Pinang. Bangunan ini telah dibaikpulih melalui kerja-kerja konservasi pada tahun 2003.

Untuk pengetahuan semua, apa yang menarik perhatian untuk TH coretkan disini adalah kesenian pada bangunan ini. Bangunan ini merupakan sebuah bangunan rumah kedai yang mempunyai ciri-ciri seni bina yang lebih dikenali sebagai Gaya Akhir straits elektrik dimana bentuk fizikalnya ialah 2 tingkat, terdapat fasad pencampuran hiasan China dan Eropah dengan mengunakan warna putih, biru nila muda dan ocre. Bangunan ini telah dibina pada anggaran tahun 1910 hingga 1940-an.

Bumbung bangunan ini adalah dari jenis terracotta V dan plaster perhiasan dinding jenis parapet atau balustrade.

Kalau kita lihat dari sudut gaya bangunan ini, ia lebih mengunakan bahan-bahan binaan yang terdiri daripada kayu, batu bata, kapur, granite dan penerapan elemen kaca. Gaya penerapan straits elektrik yang awal adalah difahamkan tidak mempunyai kaca.

Bagusnya bangunan lama yang diberi nafas baru ini ialah susunan tingkap pada fasadnya telah dapat mengurangkan keluasan dinding membenarkan peningkatan pelancaran aliran udara.


~Nun kat sebelah kanan Bangunan Pusat Warisan Dunia ini adalah Muzium Islam Pulau Pinang...juga unik rekabentuk binaannya~

~TH mengabadikan gambar kenangan bersama bangunan Pusat Warisan Dunia. Cuba lihat di bahagian bawah fasad, ia dibina dengan dinding bata dan pintu pengaliran udara dari jenis kayu dengan dihiasi jubin seramik dari jenis Majolica~


~Kesenian rekabentuk anjong jendela~

~Ciri-ciri fasad bahagian atas ialah berbata tinggi dibahagian hadapan, penambahan kaca pada tingkap yang dibina adalah tinggi, hiasan plasternya adalah dari pengaruh China dan Eropah dan terdapat juga lubang pengaliran udara di bawah bumbungnya~




Sejarah Bangunan ini.....
suatu ketika dahulu sebelum bangunan ini dibaikpulih..
..

(sumber dari JWN)


~Bangunan ini telah rosak teruk selepas berlakunya kebakaran~


~ Selepas peristiwa kebakaran tersebut, bangunan ini telah menjadi sebuah bangunan yang terbiar~


~Pemandangan pada atas bangunan~



~suatu ketika dahulu....dari sebuah bangunan usang dan sepi~

.
.
.

dan..... inilah hasilnya setelah kita mula beri perhatian dan sayang terhadap bangunan yang telah usang ini....

.
.
.

~kembali ceria dan telah dikunjungi oleh ramai pelancong dari dalam dan luar negara~

Wednesday, November 3, 2010

Jom ke Masjid Lama Kg. Dal....



Untuk coretan Jom Jejak Bangunan Warisan Kita ini, elok rasanya TH mulakan dengan menjejaki bangunan masjid dahulu...mudah-mudahan mendapat keberkatan...hehe

Baru-baru ini TH telah ke Kuala Kangsar, Perak atas urusan kerja. Dalam perjalanan tersebut TH telah singgah ke Masjid Lama Kg. Kuala Dal Padang Rengas yang terletak kira-kira 4.8 km dari Bandar DiRaja Kuala Kangsar untuk melihat sendiri keindahan kesenian binaan bangunan tersebut.

Apa yang uniknya pada bangunan ini yang TH lihat ialah keseluruhan dinding bangunan dua tingkat ini telah diperbuat daripada anyaman buluh minyak. Motif yang digunapakai ialah geometri arab dan telah dicat dengan warna bendera negeri Perak.

Masjid ini terdapat dua puluh tingkap berdaun dua yang dihiasi dengan ukiran tebuk terus, tidak silat yang bermotifkan pucuk kacang, bulan sabit dan bintang.

Bumbung masjid ini pula yang dapat kita lihat adalah berbentuk limas bungkus dan dilitupi dengan zink.

Masjid Ihsaniah Iskandariah atau lebih dikenali sebagai Masjid Lama Kg. Dal ini telah dibina pada tahun 1936. Apa yang menarik disini ialah pembinaan masjid ini telah dibiayai oleh Al-Marhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak yang ke 30. Masjid ini dibina setelah Baginda menunaikan nazar untuk membina sebuah masjid apabila salah seorang daripada anakandanya yang telah sembuh dari gering. Hasrat Baginda Sultan timbul apabila melihat masyarakat menunaikan solat berjemaah di madrasah usang di kampung berkenaan semasa pulang dari berkelah di Lata Bubu. Senibina masjid ini adalah dari ilham baginda sendiri yang dipengaruhi kuat dari ciri-ciri senibina Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Kini usaha pemuliharaan bangunan masjid ini telah dilakukan oleh kerajaan melalui Jabatan Warisan Negara...semoga usaha kerajaan ini dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang...


~Gerbang masuk ke Bandar Diraja Kuala Kangsar dari Lebuhraya PLUS~

~Masjid Lama Kg Dal ini berada berhampiran dengan masjid baru Al-Wahidiah~


~haa...kat hujung nun adalah masjid baru...Masjid Lama Kg. Dal ini telah tidak digunakan lagi semenjak tahun 1976~

~emm...yang ini pulak...TH lee...mengabadikan potret kenangan bersama bangunan warisan...~

~keaslian...keunikan...kesenian...~


~yang ini...beduk namanya...diketuk ketika masuk waktu sembahyang...beduk ini berada di tingkat atas...untuk mengunakannya...bukalah tingkap dan silalah ketuk...~

~anyaman dinding bermotifkan geometri arab~

~Anyaman dinding kelarai...buluh dianyam dengan corak buruj atau diamond...juga lebih dikenali oleh masyarakat tempatan dengan anyaman corak tiga~

~Manfaat yang diperolehi oleh masyarakat setempat...jangan lupa bawa balik buah tangan...Labu Sayong~

~Jagung kat sini murah harganya...jagung yang kat dalam bungkus kuning tu baru RM3.00 sahaja~




FOTO SEJARAH MASJID LAMA KG. DAL PADANG RENGAS, KUALA KANGSAR PERAK
( S
umber dari JWN)

Masjid Lama Kg. Dal pada tahun 1936

Masjid Lama Kg. Dal pada tahun 1979

Masjid Lama Kg. Dal pada tahun 2006

~Masjid Lama Kg. Dal kini...setelah kerja-kerja konservasi selesai oleh pihak Jabatan Warisan Negara~


TH: Semoga Masjid Kg. Dal ini akan terus kekal dengan keunikan, kesenian dan keindahan untuk tatapan
generasi
masa hadapan...

Friday, October 22, 2010

Inilah MALAYSIAKU....


Emm...pagi ini aku terpetriotik pulak... buka laman web tentang Sejarah Malaysia...

Untuk apa...

Sebagai seorang rakyat atau warganegara bertanggungjawab, rasanya perkara utama yang kita wajib lakukan ialah dengan memahami apa yang telah berlaku terhadap negara kita iaitu KENAL MALAYSIA...dari sejarahnya...kemudian...barulah akan timbul rasa SAYANG MALAYSIA...dan seterusnya...timbul hasrat dan kesanggupan untuk PERTAHANKAN MALAYSIA...dari serangan anasir luar dan dalam...untuk apa???...untuk kesinambungan GENERASI PEWARIS MALAYSIA...

Nak tahu sejarah Malaysia...langkah pertama...klik je...aku dah linkkan ke laman web wikipedia...dan maklumat yang seterusnya akan aku coretkan kemudian...

Didalam web wikipedia ini ada mencatatkan secara ringkas tentang Sejarah Malaysia berdasarkan fakta sejarah yang ada setakat ini...fakta sejarah Malaysia dahulu kala akan berubah dari masa ke semasa berdasarkan pertemuan-pertemuan artifak arkeologi oleh pakar-pakar Arkeologi negara kita...

kerana apa perlu cari sumber artifak arkeologi ini...

...emm...kerana tak semua sejarah lama negara yang kita dapat dari penjajah itu tepat dan benar...

kerana apa kita perlu rasa sangsi...

kerana mereka juga pernah melakukan aktiviti penghampusan sejarah negara kita yang terdahulu...

jangan kuatir...

Penemuan-penemuan artifak dari kajian arkeologi akan dapat menjelas dan membuktikan banyak teori tentang sejarah Malaysia...berkenaan kehidupan, budaya, keagamaan, ketamadunan dan lain-lain lagi yang dapat menceritakan Malaysia yang terdahulu....lebih-lebih lagi tentang asal usul Masyarakat Melayu dan kaum Peribumi negara ini.

Oleh itu...untuk permulaan, mari kita dapatkan pengetahuan asas tentang asal usul Malaysia...bermula dari zaman pra sejarah sehingga ke zaman perang dunia kedua dan seterusnya zaman sebelum dan selepas kemerdekaan....

link ke wikipedia SEJARAH MALAYSIA

Thursday, October 14, 2010

Jom Makan Buah Tampoi...

~Buah Tampoi~


Haa
...pernah makan buah Tampoi tak...tak pernah!!...tapi kalau Hospital Bahagia di Tampoi, Johor tu tahulah yee...hehe......takpe sebab tak semua orang berpeluang makan buah Tampoi...aku pun baru 3 kali je dapat makan buah ini...

Kat mana nak dapat buah tampoi ini...

Mudah je...biasanya kalau ada musim, kita mudah dapat buah ini di gerai-gerai kayu milik orang asli di tepi laluan Seremban-Semenyih, Bukit Mantin Negeri Sembilan. Kalau korang lalu di laluan tersebut, cuba lihat kat gerai kayu milik orang asli kat tepi jalan tu, kalau tergantung bulat-bulat memanjang macam buah rambai tapi berwarna coklat tu...itu buahlah buah Tampoi...jangan lupa pula singgah dan rasa sendiri kesedapan buah tampoi ini...singgah jangan tak singgah...jangan marah ye, saja tolong PROMOSI buah-buahan tempatan...hehe

Buah tampoi nie atau nama saintifiknya Baccaurea griffithii mempunyai rasa yang agak sedap, manis, lemak sikit-sikit dan sedikit rasa masam. Bagi masyarakat Orang Asli pula ia boleh dijadikan minuman keras. Haa...yang nie, kalau nak cuba...silakan...senang capai bulan dan bintang hehe...

Key lah...kat bawah nie, ada aku sertakan gambar macamana bentuk buah tampoi...siap dengan model-model profesionalnya sekali...


~Buah Tampoi...buahnya pada batang pokok utama, sama seperti buah rambai~





~Isi buah Tampoi, selepas dikupas kulitnya...isinya boleh dibuat cuka makan selepas proses penapaian~


~Isi buah Tampoi, kuning macam buah durian~





~emm...yang ini bukan penjual buah tampoi, tapi gambar anak buah aku...saja posing nak jadi model buah tampoi...hehe...




TH:Banyak lagi buah-buahan tempatan yang
kini sukar untuk kita temui....

Tuesday, October 12, 2010

Permainan Konda Kondi...


~Permainan konda-kondi~



Dah
lama rasanya aku tak menulis blog, so...dah rasa mengeletor le pulak jari jemari nie nak mengetuk keyboard komputer nih...

Kali ni aku nak coretkan pula berkenaan permainan-permainan tradisi orang melayu yang sempat aku rasa keseronokannya ketika di zaman kanak-kanak dahulu.

Banyak gak permainan tradisi yang sempat aku rasa seperti konda-kondi, galah panjang, lompat untai gelang getah, teng-teng atau ketinting, tating lawi, dam aji, batu seremban, congkak, rounders, polis sentri, datuk harimau, lontar seliper dan banyak lagi.

Kebanyakkan permainan yang aku main semasa kecil-kecil dulu adalah yang melibatkan pergerakan yang agak lasak dan ada sesetengah permainannya memerlukan kekuatan fizikal dan akal yang tinggi untuk menang.

Walaupun permainannya agak lasak dan kadang kala boleh menyebabkan kecederaan fizikal namun ia tetap mempunyai keseronokannya yang tersendiri.

Antaranya ialah permainan konda-kondi. Kalau tersalah tangkap kayu yang dipukul atau di songket dari lubang, alamat lebam le badan atau muka.

Emm...korang tahu ke apa itu permainan konda kondi. Mungkin korang pernah main permainan ini masa di zaman kanak-kanak dulu....masih ingat lagi keseronokannya...

Disesetengah tempat, permainan ini dikenali sebagai ketuk keli. Sebenarnya permainan ini memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan fizikal oleh pemainnya. Pemain akan memikirkan arah yang selamat semasa menguis atau mengejar kayu yang dikuis. Sekiranya kayu dapat ditangkap oleh pihak lawan maka pemain utama dianggap telah tewas atau mati dan giliran pihak lawan pula menjadi pemain utama untuk mengumpul mata. Kesilapan memukul atau menangkap kayu boleh menyebabkan berlakunya kecederaan kepada pemain. Emm...kat sinilah bahayanya permainan ini...so kalau hendak main permainan ini, kawasan yang agak lapang adalah diperlukan.

Hendak tahu cara permainan ini...

Mudah sahaja...

Kita hanya perlukan lubang kecil yang dikorek yang memanjang pada tanah lebih kurang sejengkal setengah dengan kedalamannya lebih kurang 1 inci sahaja. Dua batang kayu kecil di perlukan.

Pemain akan meletak kayu melintangi lubang. Kayu anak dikuis dengan mengunakan kayu ibu. Pemain kumpulan kedua akan berusaha menyambut kayu anak tersebut. Sekiranya kayu anak berjaya disambut....maka kumpulan utama dikira telah mati. Giliran kumpulan pemain utama bertukar kepada pemain lawan.

Bagaimana cara pengiraan mata untuk permainan ini...

Caranya ialah dengan mengira berapa kali kayu anak berbaring menghala ke arah lubang dalam setiap langkah dalam permainan ini...

~Inilah rajah permainan konda kondi...~


Saturday, June 26, 2010

Pertandingan Wau Kg. Mak Chili Kemaman...


Semalam, semasa melalui satu lorong shot cut di Kg. Mak Chili, aku tersempak dengan ramai orang yang sedang berkerumun kelihatannya seperti terdapat suatu majlis.

Pelik aku lihat kepala masing-masing mendongak ke atas. Ohhh...patutlah rupa-rupanya mereka sedang menyaksikan wau atau layang-layang yang sedang berterbangan di awan biru. Ini pengalaman pertama aku melihat pertandingan wau seperti ini.

Menurut salah seorang penduduk di situ pertandingan seperti ini memang selalu diadakan disini. Pesertanya bukan sahaja datang dari kalangan orang tempatan tetapi juga dari kampung-kampung luar. Menurut beliau lagi pemain wau berpeluang menjadi juara sekiranya benang wau semakin tegak di atas kepala. Kalau condong je sudut antara badan dan tali wau tu bermakna kurang le berpeluang untuk menang. Katanya lagi hari ini adalah pertandingan wau bulan, minggu hadapan akan diadakan pertandingan wau barat pula. Jom kita lihat foto-foto yang sempat aku rakamkan semasa melihat Pertandingan Wau di Kg. Mak Chili Kemaman untuk dikongsikan bersama.


~1~
Tak ke pelek bila tetibe je nampak suasana macam ini...ooo...rupa-rupanya mereka sedang mendongak tengok Wau...


~2~
Aktiviti sihat yang dapat menyatupadukan masyarakat...tua...muda...bersama-sama melakukan aktiviti yang sama...hebat orang-orang Ghanu Kite nihh...

~3~
Haa..jom kita donggak ke langit...

~4~
Pemain-pemain Wau...

~5~
Jom, giliran kite pulok maing wau...


~6~
Isk...isk...bertungkus lumus abang-abang kita nih...jaga-jaga wau nak jatuh tuh...

~7~
Inilah para juri yang mengadili pertandingan wau bulan tersebut...


~8~
Haa..ini pula salah seorang dari pemain wau bulan dari Kg. Mak Chili...Generasi muda yang bakal membawa budaya ini ke generasi seterusnya agar tidak berlaku kepupusan...Syabas...orang-orang kampung Mak Chili, Kemaman Terengganu...



Aku nak Cerita sikit tentang Wau...


Fakta:-

Permainan wau atau layang-layang mengandungi unsur-unsur budaya Melayu asli terutama pada bentuk layang-layang atau wau itu sendiri. Di Malaysia lazimnya permainan layang-layang dilakukan selepas musim menuai padi atau pada masa nelayan tidak dapat pergi ke laut menangkap ikan.

Antara jenis layang-layang ialah Layang-layang Baruk, Layang-layang Puyuh, Layang-layang Burung, Pari, Katak, Bayan, Merak, Kucing, Jala budi, Lenggang kebayan, Sewah, Barat dan yang terkenal ialah Wau Bulan.


Macamana cara nak buat wau?


Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbang stabilkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.

Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.

Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.

Bagaimana cara bermain wau?


Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.

Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.




TH: Fakta diatas dirujuk dari...


1) http://kebudayaan.kpkk.gov.my
2) http://malaysiana.pnm.my

Saturday, June 19, 2010

Doa dalam amalan perubatan Melayu...


Doa?.

Doa merupakan suatu permohonan yang ditujukan kepada Allah bagi meminta sesuatu. Doa adalah suatu ibadat yang sangat dituntut oleh islam. Dalam perubatan Melayu, doa merupakan suatu amalan yang sering digunakan bagi merawat pelbagai penyakit.

Pengunaan bacaan doa berunsur Islam dalam segala hal kehidupan orang melayu bermula setelah mereka mula menganut agama Islam semenjak dari Zaman Kesultanan Melayu dahulu lagi.

Doa bagi tujuan perubatan tidak memerlukan sebarang bahan. Pengamal perubatan tradisional Islam hanya perlu memohon terus kepada Allah, tuhan yang Maha Kuasa bagi tujuan mengubati sebarang penyakit. Walaubagaimanapun terdapat juga pengamal perubatan yang mengunakan medium atau alat-alat dalam kaedah rawatan pesakitnya contohnya seperti pengunaan air sebagai penawar penyembuhan, telur dan sebagainya.

Doa dibaca bersama dengan ayat-ayat al-Quran, doa dari rasulullah, para sahabat dan sebagainya bagi mendapat keberkatan dan kemakbulan oleh Allah. Doa yang dipohon perlu disertakan dengan pemahaman, keyakinan dan kesabaran. Doa boleh dibaca dalam bahasa melayu sekiranya tidak tahu berbahasa Arab.

Doa juga merupakan senjata bagi orang-orang mukmin bagi memohon sebarang perlindungan , kejayaan dan sebagainya dalam segala hal.


Serapah dalam amalan perubatan Melayu...



Serapah...tahu tak apakah serapah?.

Serapah berasal dari perkataan Hindu. Serapah mengandungi banyak unsur-unsur Hindu. Unsur-unsur hindu ialah seperti nama-nama tuhan, dewa-dewa dan perkataan-perkataan Hindu.

Gaya bahasa yang digunakan ialah berbentuk kutukan, sumpahan, ancaman dan hinaan bagi tujuan menghalau makhluk halus.

Bacaan serapah ini mudah kerana tidak mengunakan sebarang keperluan melainkan dengan hanya melakukan pembacaan serapah sahaja.

Mantera dalam amalan perubatan Melayu...



Jampi dan Mantera apa bezanya?.

Mantera bermaksud bentuk fikiran. Ia berasal dari perkataan Sanskrit.

Mantera merupakan satu ungkapan suci yang digunakan dalam upacara pemujaan roh dan juga upacara mistik masyarakat melayu terdahulu.

Mentera merupakan bait-bait kata ucapan yang digunakan semasa merawat pesakit, adat istiadat dan lain-lain upacara.

Mantera dipercayai oleh segelintir masyarakat melayu sebagai penawar kepada sesuatu penyakit.

Beza antara Mantera dengan Jampi ialah mantera lebih banyak memasukkan asal-usul sesuatu benda didalam bait-bait bacaannya. Mantera juga digunakan untuk menghalau makhluk halus, jin dan sebagainya.

Dipercayai dari bait-bait mantera yang mengandungi asal usul makluk halus tersebut telah menyebabkan makluk-makhluk halus ini menjadi takut. Ini kerana mantera-mantera seperti ini mengandungi bait-bait yang berbentuk ancaman kepada makhluk yang menganggu manusia.

Juga dipercayai bait-bait bacaan mantera ini mempunyai kesaktian dan hikmat yang tersendiri dan para pengamalnya mestilah mempunyai keserasian dan keyakinan yang tinggi keatas apa yang telah diamalan dan dipelajarinya.

Protected by Copyscape Plagiarism Software