Aku baru jee abis menonton DVD cerita Queens of Langkasuka, filem Thailand arahan Zonzee Nimibutr. Filem ini mengisahkan kerajaan Langkasuka diambang peperangan dan perebutan kuasa.
Apa yang menarik didalam filem ini ialah ia memaparkan budaya melayu seperti pakaian, adab tingkah laku dan seni mempertahankan diri iaitu silat.
Bagi aku yang meminati filem-filem action martial art, filem ini bolehlah dikatakan menarik juga. Banyak gak babak-babak pertarungan. Aku tengok cerita ini sampai habis....tapi bukan ceritanya yang aku nak coretkan kat blog ini, tapi siapa yang buat filem ini. Terdetik gak dalam hati orang Thailand buat filem yang ada kaitan dengan sejarah melayu.
Bukankah Langkasuka merupakan salah sebuah Kerajaan Melayu Tua yang wujud pada kurun yang ke-2 masihi dan dipercayai Langkawi juga mendapat nama daripada perkataan Langkasuka. Hebatkan orang Thailand buat filem, hinggakan sejarah kita juga mereka berjaya olahkan menjadi satu cerita yang menarik. Heronya berpakaian melayu siap bersampin dan bertengkolok lagi...tak guna Tomoi pun...pertarungan gunakan silat . Masa tengok cerita ni...rasa bangga gak...yelah budaya dan sejarah melayu dalam filem antarabangsa.
Terfikir gak aku kenapa budaya dan sejarah kita orang lain pula yang tolong promotekan..mana pergi karyawan-karyawan filem kita yang hebat-hebat dan gah-gah. Kenapa keryawan-karyawan filem kita sibuk dan gairah nak buat cerita bercorakkan cinta atau komedi sahaja.
Bilalah orang kita nak tengok filem epik sejarah melayu dalam bahasa melayu dan bukannya dalam bahasa Thailand. Bukan apa tak faham sepatah haram pun, mujurlah ada senikata disediakan. Ceritanya bercampur dengan fantasi tapi berdasarkan epik sejarah. Nampak mengarut sikit tapi menarik sebab perjalanan cerita, filem effect dan lebih-lebih lagi ada silat melayu. Harap-harap selepas ini ada karyawan yang berjaya buat filem bercorak sejarah dan pertempuran dan boleh berjaya diperingkat antarabangsa macam filem-filem aksi pertarungan Thailand yang mempromosikan Tomoi manakala kung fu pula oleh karyawan-karyawan perfileman dar negara China.
psst: Terfikir gak, kita ada ke hero-hero berbakat untuk berlakon dalam filem-filem aksi pertarungan..seperti Jet Li atau Tony Jaa (Hero filem Ong Bak dan Tom Yam Goong) ??
......................................................................
......................................................................
Pada pendapat aku, setiap orang melayu perlu tahu apa itu silat, tak belajar tak mengapa tapi perlu ada pengetahuan tentang seni warisan ini. Macam orang Thai, sebut sahaja Tomoi, hampir semua masyarakatnya tahu dan belajar kemahiran tomoi, sekurang-kurangnya peringkat asas.
Bagaimana pula dengan silat, berapa kerat orang kita pernah belajar silat. Kenapa ada di kalangan orang kita yang memperlekehkan kehebatan silat melayu?. Bukankah sejarah telah membuktikan dengan silat, nenek moyang kita dapat mempertahankan tanah air dari anasir luar.
Kenapa kita sendiri kurang merasa bangga dengan silat?.
Kenapa kita kurang mempromosikan silat?.
Kenapa kita masih menganggap silat budaya kuno dan bersifat kekampungan?.
............................................................................
............................................................................
Lepas menonton DVD cerita Queen of Langkasuka...rasa boring...layan internet pulak...aku buka laman web silat dah lama gak tak buka laman web silat-silat melayu...masa student dulu rajin laa layan... saja nak tau perkembangan silat kat Malaysia sekarang. Hairan gak aku...mana taknya makin banyak lak terpapar keluar di skrin ni muka-muka asing berhidung mancung, bertubuh tinggi, bertubuh sasa dan bukan berkulit sawo matang sedang bersilat. Macam-macam skill buah pukul, kuncian, bunga silat, siap dengan permainan senjata lagi yang mereka demokan..bila dilihat dari liuk tubuh....memang aku pasti gaya persembahan yang ditunjukkan adalah dari aliran Seni Silat Melayu. Perasaan aku ketika itu bercampur-campur...macam nasi campur hehe...rasa bangga ada rasa malu pun ada. Bangga sebab silat dah berkembang sampai ke dunia Eropah dan Amarika Syarikat. Malu sebab bangsa asing mungkin dah lebih maju dari pesilat kita. Terfikir juga aku apakah penghujungnya perjalanan silat kepada orang kita?.
DUNIA TANPA SEMPADAN...
Aku tak pasti wajarkah kita mengembang dan mewariskan ilmu persilatan ini kepada spesis bangsa penjajah?.
Aku juga tak pasti, setujukan nenek moyang kita dengan tindakan ini sekiranya mereka diberi peluang untuk melihat perjalanan ilmu persilatan kini?. Adakah mereka sanggup melihat anak cucu mereka dibuli dan diolok-olokkan oleh anak cucu bangsa penjajah ini didalam dan diluar gelanggang dengan ketinggian ilmu persilatan mereka. Apa lagi yang kita ada...semuanya sudah menjadi MILIK ORANG...benarkah begitu wahai orang-orang silat?.
Tak salah kalau belajar ilmu senibeladiri bangsa asing kerana ilmu senibeladiri bangsa asing juga hebat tetapi terfikirkah kita mengapa ilmu senibeladiri mereka lahir dikalangan mereka....dan silat pula lahir dikalangan orang kita...tentu ada sebabnyakan? Tuan hamba semua fikirlah sendiri...
Warisan kita jangan dilupakan...mesti diwarisi dan diwariskan...untuk jati diri dan bekalan generasi akan datang...mungkin itu sahaja yang kita ada setelah semua adat resam mungkin ditelan dek zaman...
DALAM SILAT ADA MELAYU...DALAM MELAYU ADA SILAT...
...................................................................................
...................................................................................
Ilmu persilatan ini tidak boleh lari daripada perkara-perkara ghaib dan mistik. Didalam ilmu persilatan melayu ini terdapatnya cabang-cabang ilmu-ilmu ghaib, ilmu-ilmu kebatinan, ilmu tenaga dalam dan bermacam-macam ilmu yang menunjukan kehebatan luar biasa pengamalnya, antaranya ilmu kebal, ilmu terawangan, ilmu ringan badan atau apungan, ilmu halimunan, ilmu perubatan tradisional, ilmu tangan panas/berapi, ilmu getaran, parang terbang, ilmu pukulan jarak jauh dan banyak lagilah cabang-cabang ilmu dalam persilatan. Macam tak logik je kan bunyinya...betul ke ada ilmu-ilmu macam ini?...kira macam itulah kehebatan ilmu persilatan melayu yang aku difahamkan...dan satu lagi persoalan, ada lagi ke ilmu-ilmu macam ini kepada pengamal-pengamal ilmu persilatan sekarang?...kalau ada, boleh tak demo kat aku?.
....................................................................................
....................................................................................
Ilmu persilatan diajar bermula dari latihan fizikal iaitu penuntut diajar beladiri tangan kosong atau tempur tanpa senjata serta mengunakan senjata secara fizikal. Walaubagaimanapun untuk menjadi seorang pendekar, tingkat tertinggi sesuatu ilmu persilatan itu perlu melalui peringkat kebatinan. Semakin tinggi ilmu kebatinan yang dimiliki dan dikuasai seseorang pendekar itu maka semakin tinggi darjat kependekarannya. Terdapat dua aliran ilmu kebatinan dalam silat melayu iaitu ilmu putih dan ilmu hitam.
Apa dia ilmu putih dan ilmu hitam?, nantilah aku ceritakan kemudian sebab hari ini aku hanya hendak berkongsi tentang asal usul dan apa itu silat sahaja.
Apa itu silat?
Silat adalah satu cabang seni mempertahankan diri milik orang-orang melayu nusantara yang telah diamal semenjak dari zaman dahulu lagi.
Dari mana asal usul silat ini?
Haa...yang ini masalahnya sebab nenek moyang orang melayu dahulu tidak pernah mencatatkan, membuat catatan atau merekodkannya. Jadi tiada rekod yang boleh mengesahkan dari mana asal usul silat ini. walaubagaimanapun silat telah tersebar sejak abad ke 7 Masehi dan telah diwarisi turun temurun dari satu generasi ke satu generasi. Silat bukan sekadar seni pertarungan tetapi dan dijadikan sebagai latihan kerohanian.
Siapa yang mengajar silat?.
Pelatih silat diajar oleh jurulatih-jurulatih silat yang ditauliahkan oleh Guru Utama. Guru utama pula ialah seseorang yang mewarisi aliran sesuatu perguruan. Kebanyakan guru-guru silat menolak gelaran Mahaguru kerana perkataan Maha adalah Hak Allah dan satu lagi ialah kebanyakan guru-guru silat ini suka menyembunyikan kemahiran mereka dan sangat merendah diri, low profile kata orang putih hehe..tang ni yang aku respect kat guru-guru silat Melayu. ..diam-diam ubi berisi... . Guru Tua pula ialah gelaran yang diberi kepada pengamal ilmu persilatan senior. Guru tua ini adalah merupakan pesilat senior yang telah mengamalkan dan mengajar silat dari beberapa warisan silat yang telah hilang. Beliau juga mempunyai kemahiran yang tinggi hasil daripada latihan-latihan silat sepanjang hidupnya.
Senjata-senjata yang terdapat dalam silat?
Banyak...antaranya....
Keris,badik,kerambit,parang,pedang,lading,tumbuk lada,tekpi,tongkat,sundang
tembong, tombak dll.
Apakah keunikan silat?.
Silat ini unik, banyak dipengaruhi oleh budaya orang melayu yang penuh adab sopan, kelembutan dan kesenian. Setiap aliran silat mempunyai falsafah perguruannya yang tersendiri.
Silat nampak seperti tarian dalam lenggok dan keleknya sebab itulah ia boleh digunakan dalam majlis-majlis keramaian masyarakat melayu.
Setiap aliran silat mempunyai bunga sembah. Bunga sembah melambangkan perguruan.
Kalau nak tahu, silat mempunyai bunga dan buah. Bukan bunga dan buah daripada pokok yee...tapi bunga silat dan buah pukulan. Bunga silat ini penuh dengan tipu muslihat pengamalnya. Seni tarinya boleh membuatkan lawannya keliru.
Dalam lembut ada kerasnya... itulah silat. Bunga tari silat juga digunakan untuk menyembunyikan buah, mengacah dan juga mengumpan lawan. Selain bunga tari dan buah pukulan, silat juga terkenal dengan teknik kuncian. Terdapat 2 jenis kuncian yang biasa digunakan iaitu kuncian urat saraf dan kuncian anggota badan. Pernah tak dengar istilah kunci mati...kunci mati ini ialah kuncian pada anggota tubuh yang tidak boleh dilepaskan kecuali dengan teknik-teknik tertentu sahaja.
Sebelum stop pasal silat ni, aku nak ingatkan yang silat adalah warisan kita semua di nusantara. Kita semua berkongsi warisan ini. Tidak perlulah kita berebut tentang silat ini hak milik kepada siapa macam kes tarian pendet. Tidak kiralah samaada Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei, sama-sama mengunakan silat untuk membebaskan negara daripada ancaman penjajah. Silat telah banyak melahirkan ramai pemimpin perjuangan yang mempertaruhkan nyawa dan darah demi keamanan negara. Banyak pejuang negara mengunakan silat sebagai medium untuk menghalau penjajah dan musuh negara sebagai contohnya Mat Kilau, Datok Bahaman, Tok Gajah, Tok Janggut, Kiyai Salleh dan ramai lagi pejuang-pejuang bangsa yang berani dan terbilang yang harus kita hargai , dicontohi dan dikenang jasa mereka bukan sekadar kenangan didalam teks-teks sejarah tanah air.
: DALAM SILAT ADA MELAYU.....DALAM MELAYU ADA SILAT
No comments:
Post a Comment