Sunday, January 3, 2010

Indahnya Budaya Melayu....


......(1)

Kita
selalu menghadiri majlis-majlis pertunangan dan perkahwinan. Kita juga selalu dapat melihat dan mendengar pantun dan gurindam dialunkan oleh orang-orang lama.

Tetapi sedarkah kita yang suatu hari nanti orang-orang lama ini akan pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Yang tinggal hanyalah kenangan. Kenangan manis melihat telatah orang-orang lama kita...bergurau senda, usik-mengusik... ada yang bersila juga ada yang bersimpuh...berbalas-balas pantun sudah semestinya. Harmoninya suasana itu...hubungan silaturrahim mula bertaut mesra tanda persetujuan satu ikatan dua keluarga dengan hati yang penuh keikhlasan dan kerelaan.

Kenangan tetap kenangan. Kita sekarang mewarisi peninggalan. Apa yang ditinggalkan adalah keindahan. Keindahan budaya dari generasi lama kita.

Siapa pula giliran Sang Pemantun pembuka bicara , siapa pula yang bakal menyambut pantun dan seloka dan siapa pula bakal Sang Pembawa Majlis...

Kitalah bakal menjadi orang-orang lama. Orang-orang lama yang bakal mewariskan budaya lapok kepada anak-anak dan cucu-cucu kita.

Jangan sesekali kita menjadi melayu hanya pada nama. Melayu akan menjadi layu jika hilang identitinya.

Untuk coretan kali ini aku ingin palitkan pantun dan seloka. Pantun dan seloka peninggalan orang-orang lama yang sempat aku kumpulkan untuk tatapan bersama. Pantun dan gurindam dalam majlis masyarakat melayu kita. Terima kasih yang tidak terhingga kepada orang lama pencipta kepada pantun dan gurindam ini. Pantun dan gurindam dibawah ini digunakan semasa menguruskan majlis-majlis perkahwinan.


Pembuka Kata

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di pohon buluh,

Bukan sembah sebarang sembah,

Sembah bersusun sepuluh jari.


Bukan lebah sebarang lebah,
lebah bersarang di pohon nangka,

Bukan sembah sebarang
sembah,
Sembah dengan adat pusaka.

........

Menyambut Tetamu

Batu kecubung warna unggu,
Ditatah berlian batu bermutu,
Adat melayu menyambut tetamu,
Hamparkan tikar lebarkan pintu.

Kedatangan tetamu yang mulia,
Kami tunggu dengan dada lapang,
Kami tunggu dengan kasih sayang.


Kami sambut dengan sukacita,

kami terima dengan hati suci.


........

Undangan

Yang jauh diundang dengan surat,
Yang dekat diundang dengan tepak.

Kini yang diundang sudah tiba,

Yang dipesan sudah datang.


Yang dipanggil sudah disahut,

Kalau gayung sudah bersambut.


........

Apabila tetamu semua sudah sampai

Yang dari bukit datang menurun,
Yang dari lembah datang mendaki.


Yang dari pulau datang berlayar,

Yang dari hulu datang berdayung.


Yang buta datang bertuntun,
Yang tempang datang bertongkat.


Sekarang....

semua sudah berhimpun dimajlis ini.


Yang duduk sudah bertemu lutut,
Yang berdiri sudah bertemu bahu.


Atas nama yang empunya majlis,
Atas nama yang empunya hajat,
Atas nama kaum kerabat,

Ketibaan jemputan yang mulia,

Kami sambut dengan adat.


Bersambung......

tunggu coretan seterusnya dari...

No comments:

Post a Comment