Wednesday, September 16, 2009

RAYA DATANG LAGI......

Raya datang lagi, setelah sebulan berpuasa menunaikan rukun islam yang ketiga, kini tibalah masa meraikan bulan yang dianggap sebagai bulan kemenangan bagi seluruh umat islam di serata dunia.

Kesempatan ini digunakan sepenuhnya untuk saling bermaafan dan mengeratkan tali persaudaraan sesama Islam. Justeru itu, amalan berhari raya di kampung halaman masih lagi menjadi agenda utama anak perantauan.

Saya juga tidak ketinggalan untuk menjadikan tradisi pulang kekampung bagi meraikan hari lebaran sebagai sesuatu yang dimestikan.

Tugas sebagai Jurutera yang bertugas di Tapak Projek di Kemaman, Terengganu, telah menuntut saya untuk bermain dengan pengurusan waktu yang secara tidak langung membuatkannya terikat dari segi jadual kerja dan tugas. Apa boleh buat mahu atau tidak itulah pengorbanan yang harus dilakukan demi tugas yang telah dipertanggungjawabkan.

Seperti tahun-tahun sudah, tahun ini sekali lagi dapat menghabiskan cuti selama seminggu untuk meraikan 1 syawal bersama ibu, ayah, adik beradik dan sanak saudara tercinta yang berada di Melaka.

Yang menyeronokkan berhari raya di kampung ialah saat-saat dimana adik-beradik dan sanak saudara berkumpul beramai-ramai, tradisi saling menziarahi dan bermaaf-maafan. dapat dilakukan dengan penuh keharmonian. Amalan ini ternyata cukup berbeza di kampung, itulah keistimewaannya. Tambah seronok bila melihat gelagat anak-anak saudara berebut ketika menerima duit raya. Kemeriahan bukan sahaja pada 1 syawal tetapi telah dirasai pada malam raya itu lagi. Seronoknya bermula ketika beramai-ramai berkampung mengalunkan takbir raya dari masjid dan rumah ke rumah. Meriahnya suasana amat dirasai ketika itu.

Sempena hari lebaran yang bakal tiba ini, entah hari Ahad 19/9/09 atau Isnin 20/9/09 ini, saya dan keluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. Berhati-hatilah ketika pulang berhari raya di kampung dan amalkan sikap bertimbang rasa antara satu sama lain untuk mengelakan sebarang kejadian yang tidak diingini dan gunakanlah penutup hidung bagi mengelakkan berlakunya penularan virus H1N1 semasa berada di kawasan tumpuan orang ramai seperti shopping komplek, perhentian bas dan sebagainya.


No comments:

Post a Comment

Protected by Copyscape Plagiarism Software