Saturday, June 26, 2010

Pertandingan Wau Kg. Mak Chili Kemaman...


Semalam, semasa melalui satu lorong shot cut di Kg. Mak Chili, aku tersempak dengan ramai orang yang sedang berkerumun kelihatannya seperti terdapat suatu majlis.

Pelik aku lihat kepala masing-masing mendongak ke atas. Ohhh...patutlah rupa-rupanya mereka sedang menyaksikan wau atau layang-layang yang sedang berterbangan di awan biru. Ini pengalaman pertama aku melihat pertandingan wau seperti ini.

Menurut salah seorang penduduk di situ pertandingan seperti ini memang selalu diadakan disini. Pesertanya bukan sahaja datang dari kalangan orang tempatan tetapi juga dari kampung-kampung luar. Menurut beliau lagi pemain wau berpeluang menjadi juara sekiranya benang wau semakin tegak di atas kepala. Kalau condong je sudut antara badan dan tali wau tu bermakna kurang le berpeluang untuk menang. Katanya lagi hari ini adalah pertandingan wau bulan, minggu hadapan akan diadakan pertandingan wau barat pula. Jom kita lihat foto-foto yang sempat aku rakamkan semasa melihat Pertandingan Wau di Kg. Mak Chili Kemaman untuk dikongsikan bersama.


~1~
Tak ke pelek bila tetibe je nampak suasana macam ini...ooo...rupa-rupanya mereka sedang mendongak tengok Wau...


~2~
Aktiviti sihat yang dapat menyatupadukan masyarakat...tua...muda...bersama-sama melakukan aktiviti yang sama...hebat orang-orang Ghanu Kite nihh...

~3~
Haa..jom kita donggak ke langit...

~4~
Pemain-pemain Wau...

~5~
Jom, giliran kite pulok maing wau...


~6~
Isk...isk...bertungkus lumus abang-abang kita nih...jaga-jaga wau nak jatuh tuh...

~7~
Inilah para juri yang mengadili pertandingan wau bulan tersebut...


~8~
Haa..ini pula salah seorang dari pemain wau bulan dari Kg. Mak Chili...Generasi muda yang bakal membawa budaya ini ke generasi seterusnya agar tidak berlaku kepupusan...Syabas...orang-orang kampung Mak Chili, Kemaman Terengganu...



Aku nak Cerita sikit tentang Wau...


Fakta:-

Permainan wau atau layang-layang mengandungi unsur-unsur budaya Melayu asli terutama pada bentuk layang-layang atau wau itu sendiri. Di Malaysia lazimnya permainan layang-layang dilakukan selepas musim menuai padi atau pada masa nelayan tidak dapat pergi ke laut menangkap ikan.

Antara jenis layang-layang ialah Layang-layang Baruk, Layang-layang Puyuh, Layang-layang Burung, Pari, Katak, Bayan, Merak, Kucing, Jala budi, Lenggang kebayan, Sewah, Barat dan yang terkenal ialah Wau Bulan.


Macamana cara nak buat wau?


Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbang stabilkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.

Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.

Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.

Bagaimana cara bermain wau?


Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.

Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.




TH: Fakta diatas dirujuk dari...


1) http://kebudayaan.kpkk.gov.my
2) http://malaysiana.pnm.my

Saturday, June 19, 2010

Doa dalam amalan perubatan Melayu...


Doa?.

Doa merupakan suatu permohonan yang ditujukan kepada Allah bagi meminta sesuatu. Doa adalah suatu ibadat yang sangat dituntut oleh islam. Dalam perubatan Melayu, doa merupakan suatu amalan yang sering digunakan bagi merawat pelbagai penyakit.

Pengunaan bacaan doa berunsur Islam dalam segala hal kehidupan orang melayu bermula setelah mereka mula menganut agama Islam semenjak dari Zaman Kesultanan Melayu dahulu lagi.

Doa bagi tujuan perubatan tidak memerlukan sebarang bahan. Pengamal perubatan tradisional Islam hanya perlu memohon terus kepada Allah, tuhan yang Maha Kuasa bagi tujuan mengubati sebarang penyakit. Walaubagaimanapun terdapat juga pengamal perubatan yang mengunakan medium atau alat-alat dalam kaedah rawatan pesakitnya contohnya seperti pengunaan air sebagai penawar penyembuhan, telur dan sebagainya.

Doa dibaca bersama dengan ayat-ayat al-Quran, doa dari rasulullah, para sahabat dan sebagainya bagi mendapat keberkatan dan kemakbulan oleh Allah. Doa yang dipohon perlu disertakan dengan pemahaman, keyakinan dan kesabaran. Doa boleh dibaca dalam bahasa melayu sekiranya tidak tahu berbahasa Arab.

Doa juga merupakan senjata bagi orang-orang mukmin bagi memohon sebarang perlindungan , kejayaan dan sebagainya dalam segala hal.


Serapah dalam amalan perubatan Melayu...



Serapah...tahu tak apakah serapah?.

Serapah berasal dari perkataan Hindu. Serapah mengandungi banyak unsur-unsur Hindu. Unsur-unsur hindu ialah seperti nama-nama tuhan, dewa-dewa dan perkataan-perkataan Hindu.

Gaya bahasa yang digunakan ialah berbentuk kutukan, sumpahan, ancaman dan hinaan bagi tujuan menghalau makhluk halus.

Bacaan serapah ini mudah kerana tidak mengunakan sebarang keperluan melainkan dengan hanya melakukan pembacaan serapah sahaja.

Mantera dalam amalan perubatan Melayu...



Jampi dan Mantera apa bezanya?.

Mantera bermaksud bentuk fikiran. Ia berasal dari perkataan Sanskrit.

Mantera merupakan satu ungkapan suci yang digunakan dalam upacara pemujaan roh dan juga upacara mistik masyarakat melayu terdahulu.

Mentera merupakan bait-bait kata ucapan yang digunakan semasa merawat pesakit, adat istiadat dan lain-lain upacara.

Mantera dipercayai oleh segelintir masyarakat melayu sebagai penawar kepada sesuatu penyakit.

Beza antara Mantera dengan Jampi ialah mantera lebih banyak memasukkan asal-usul sesuatu benda didalam bait-bait bacaannya. Mantera juga digunakan untuk menghalau makhluk halus, jin dan sebagainya.

Dipercayai dari bait-bait mantera yang mengandungi asal usul makluk halus tersebut telah menyebabkan makluk-makhluk halus ini menjadi takut. Ini kerana mantera-mantera seperti ini mengandungi bait-bait yang berbentuk ancaman kepada makhluk yang menganggu manusia.

Juga dipercayai bait-bait bacaan mantera ini mempunyai kesaktian dan hikmat yang tersendiri dan para pengamalnya mestilah mempunyai keserasian dan keyakinan yang tinggi keatas apa yang telah diamalan dan dipelajarinya.

Jampi dalam amalan perubatan Melayu...





Tentu korang biasa dengar perkataan jampi. Apa sebenarnya jampi?.

Jampi merupakan suatu susunan kata-kata yang indah yang boleh memberikan kesan apabila rangkai kata tersebut di baca pada sesuatu benda.

Contohnya apabila jampi dibacakan kepada sesuatu benda contohnya pada air, air tersebut boleh digunakan sebagai penyembuh kepada sesuatu penyakit. Biasanya air yang telah dijampikan akan diberi minum kepada pesakit atau di sapukan ke bahagian yang sakit.

Air jampi juga boleh dibuat mandian bergantung kepada jenis penyakit dan pengamal perubatannya.

Bahan-bahan lain seperti ialah lada hitam, garam, bawang putih, beras pulut boleh digunakan sebagai alat jampi bagi tujuan pelindung rumah.

Jampi yang di bacakan kepada minyak wangi, bedak atau pakaian biasanya diamalkan oleh pengamal ilmu pengasih bagi tujuan menarik rasa kasih dan sayang dari seseorang yang diinginkan.

Terdapat juga ayat-ayat jampi yang dimasukkan dengan unsur-unsur Islam seperti kalimah Allah, nama para nabi, kalifah perang dan pejuang-pejuang Islam.

Unsur-unsur animisme seperti menyebut nama-nama makhluk halus masih menebal dan masih digunakan secara meluas dalam ayat-ayat jampi.

Oleh itu sebagai penganut agama Islam kita haruslah berhati-hati semasa mengamalkan jampi kerana jampi pada kebiasaannya telah bercampur aduk dengan unsur-unsur islam dan kepercayaan lain. Seelok-eloknya kita mestilah merujuk terlebih dahulu kepada ahli agama seperti ustaz dan sebagainya bagi mengelakkan kita bersetongkol dengan syaitan yang seringkali mencari peluang menyesatkan manusia.

Kita harus ingat akan menjampi secara sesat hukumnya adalah syirik. Sebaik-baiknya kita haruslah memahami konsep asas tauhid terlebih dahulu sebelum mengamalkan sesuatu jampi. Wallahualam...


Saturday, June 12, 2010

SUKAN MALAYSIA XIII, MELAKA 2010

SEMOGA BERJAYA BUAT KONTIJEN NEGERI MELAKA....



TH: Tahniah buat kerajaan Negeri Melaka atas Pembukaan SUKMA yang gilang gemilang, semoga melaka dapat menjadi juara SUKMA kali ini....

Friday, June 4, 2010

Unsur-unsur Tumbuhan dalam Perubatan Melayu...

Kali ini aku ingin menulis tentang unsur-unsur tumbuhan dalam perubatan melayu pula. Rasanya topik kali ini menarik juga sebab ada beberapa petua yang berkaitan dengan tumbuhan telah aku selitkan di akhir nukilan ini.

Bercakap dalam topik perubatan melayu ini, kita tidak dapat lari dari memperkatakan pertalian antara tumbuhan dengan kaedah perubatannya. Jika kita perhatikan keadaan sekeliling bumi melayu ini, terdapat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan bersifat herba yang boleh dijadikan sebagai penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Justeru itulah pengunaan tumbuhan bersifat herba telah digunakan secara meluas di dalam alam perubatan Melayu. Walaubagaimanapun keberkesanan pengunaan sesuatu tumbuhan herba bergantung kepada kemahiran dan pengetahuan oleh pengamalnya.

Pawang, bomoh dan dukun juga banyak mengaplikasikan bahagian-bahagian tumbuhan didalam upacara atau ritual pengubatannya. Pada kebiasaannya terdapat beberapa tumbuhan telah digunakan sebelum memulakan sesuatu upacara rawatan. Antara tumbuhan yang biasa mereka gunakan ialah kunyit, limau purut, sirih, beras , mayang kelapa dan lain-lain lagi. Bahan-bahan tersebut akan dijampi terlebih dahulu sebelum dijadikan sebagai penawar dan dipercayai juga dapat menghalau gangguan makhluk halus dan sebagainya.

Orang melayu juga kaya dengan warisan petua yang mengunakan tumbuhan sebagai resepi perawatannya. Petua atau pesan orang-orang tua ini merupakan warisan kepada anak cucu mereka bagi menjalani kehidupan didunia ini yang penuh dengan pelbagai ragam dan dugaan.

Banyak yang kita telah warisi petua-petua dari orang-orang terdahulu yang melibatkan pengunaan tumbuhan sebagai suatu alat perawatan. Petua-petua ini telah terbukti akan berkesanannya. Walaubagaimanapun semasa mengamalkan petua-petua ini, kita memerlukan kesabaran kerana ada antaranya akan menunjukkan keberkesanan dalam jangka masa yang panjang. Perlu diingatkan bahawa kadangkala keberkesanan petua orang dulu-dulu ini juga bergantung kepada keserasian tubuh seseorang.

Dibawah ini aku sertakan beberapa petua orang melayu yang mengunakan unsur-unsur tumbuhan didalam kaedah rawatannya. Petua ini adalah bertujuan untuk penjagaan kecantikan terutamanya kepada kaum hawa.

Dari pengalaman aku, terdapat juga sesetengah dari pada ramuan-ramuannya akan diadunkan bersama dengan bacaan doa, jampi serampah atau mentera bagi meningkatkan kemujaraban dan keampuhan perawatan. Bagi orang Islam seeloknya kita mulakan dengan bacaan bismillah dan selawat keatas nabi dan kemudian berdoa agar ramuan-ramuan tersebut dapat dijadikan sebagai ubat dan penawar penyembuhan bagi masalah yang sedang dihadapi.


Antara unsur-unsur tumbuhan dalam kaedah rawatan melayu ialah:-


Beras

Boleh digunakan untuk merawat jerawat batu. Caranya ialah dengan menumbuk sedikit beras hingga halus. Campurkan beras halus tadi dengan sedikit air lalu disapukan kepada jerawat batu tersebut. Lakukan tiga kali seminggu sebelum tidur.



Kulit Buah Rambai


Boleh digunakan untuk mengatasi masalah jerawat dan jeragat. Caranya ialah keringkan kulit buah rambai dan kisar sehingga halus. Kemudian campurkan dengan sedikit air masak lalu sapukan ke muka. Sila amalkannya selama dua kali seminggu.




Daun Teh

Boleh digunakan untuk menaikkan seri muka. Caranya ialah dengan merendam daun teh semalaman. Selepas bangun dari tidur korang sapukan air rendaman tadi ke seluruh muka sebelum mandi. Hasilnya wajah korang akan menjadi lebih licin dan kelihatan segar.



Daun Sirih Muda


Dapat menyegarkan mata yang letih dan kegatalan. Caranya ialah dengan mengambil beberapa helai daun sirih muda, cuci bersih-bersih dan ramas. Masukkan ke dalam air suam dan tapis airnya. Rendamkan mata dalam air tapisan tadi.



Air Kelapa Muda

Dapat mengatasi bibir yang merekah. Caranya ialah dengan mencampurkan air kelapa muda tadi dengan kuning telur dan sedikit madu lebah. Amalkan sekali setiap hari sehingga bibir korang tidak merekah lagi.




Bunga Tebu Hitam


Dapat mengekalkan kehitaman rambut. Caranya ialah dengan mendapatkan bunga tebu hitam yang dimasak dan dengan minyak kelapa dan disapukan ke rambut. Insyaallah rambut korang akan kekal hitam.





Daun Bunga Raya


Dapat mengatasi rambut gugur. Caranya ialah dengan membersihkan daun bunga raya yang hijau dan kemudian ramaskan dalam segayong air. Sapukan rambut dengan air ramasan tadi dan biarkan selama 5 minit dan kemudiannya barulah dibilas.

Dapat mengurangkan panas akibat demam terutamanya kepada kanak-kanak. caranya ialah sama seperti kaedah diatas dan sapu rata ke kepala. Insyallah panas akan berkurangan.




Air Kelapa Tua


Dapat mengatasi rambut beruban dan berkelimumur. Caranya ambil secawan air kelapa muda dan gosokkan perlahan-lahan pada kulit kepala. Amalkan setiap hari atau 3 kali seminggu. Insyaallah masalah kelimumur dan uban akan hilang.


Kangkung

Dapat melembutkan rambut. Caranya, ambil secekak kangkung dan bersihkan. Masukkan kedalam bekas air suam sebanyak enam camca dan ramas sehingga keluar lendir. Sapukan lendir ke seluruh rambut dan biarkan seketika. Kemudian bilas dengan air bersih. Amalkan selama 2 minggu.




Tepung Ubi dan Timun

Dapat menegangkan kulit muka. Caranya ialah ambil tepung ubi dan mentimun. Sagat mentimun dan campurkan dengan tepung ubi dengan sedikit air. Kacau rata dan jangan terlalu cair. Sapukan ke muka dan biarkan kering. Kemudian basuh muka. Insyaallah kulit akan semakin putih dan kelihatan segar.




Kayu Manis, Kunyit hidup dan B
eras pulut

Dapat menegangkan kulit muka. Caranya ialah campurkan sedikit kulit kayu manis, seketul kunyit hidup dan sedikit beras pulut. Kesemua bahan ini di tumbuk lumat. Sapukan ke muka dan leher. Amalkan dua kali seminggu.







Lobak Merah


Dapat merawat kulit yang berkedut. Caranya ialah dengan memarut sebatang lobak merah yang telah di bersihkan. Campurkan dengan sesudu tepung jagung dengan sebiji telur kuning. Sapukan ke muka sekali setiap hari. Amalkan sehingga berkesan.


Kulit Pisang


Dapat dijadikan sebagai losyen untuk kulit yang kering atau bertompok. Caranya ialah cuci dan potong kulit pisang kepada potongan yang kecil. Masukkan ke dalam setengah cawan susu segar dan kisar hingga sebati. simpan ramuan ini ke dalam botol dan sejukannya.


Jagung Muda dan Tomato


Dapat pulih kulit yang melecur akibat terbakar. Caranya ialah parut jagung muda dan tomato dan ambil patinya. Gaul dengan satu camca madu. Sapukan pada kulit yang terbakar. Biar selama beberapa minit. Bilas dengan air bersih. Lakukan setiap hari sehingga ia berhasil.




Daun Kelapa


Dapat memutihkan gigi. Caranya bakar daun kelapa dan ambil abunya untuk digosokkan kepada gigi.



Kulit Manggis


Kulit manggis juga dapat digunakan untuk memutihkan gigi. Caranya dengan membakar kulit manggis dan ditumbuk halus. Jadikan sebagai ubat gigi.



Limau Nipis


Dapat mencerah dan melicinkan kulit. Caranya ialah ambil sebiji limau nipis dan belah dua. Gosokkan kemuka dan seluruh badan. Insyaallah kulit akan cerah, licin dan harum.
Dapat mengempiskan perut yang buncit. Caranya ialah hanya perlu minumair perahan limau nipis kedalam teh tanpa gula setiap hari dengan kadar yang sesuai.






Asam Jawa

Dapat menghilangkan parut. Caranya, ambil sedikit asam jawa dan ramas bersama sedikit air. Jangan terlalu cair. Sapukan ke tempat berparut dan biar hingga kering. Seelok lakukan sebelum tidur. Dengan meminum air asam jawa juga dapat memulihkan sakit tekak.



Belimbing Buluh

Dapat mengatasi tumit pecah. Caranya ialah dengan mengosokkan tumit kaki dengan menggunakan belimbing buluh dan berus tumit tadi dengan berusnya lembut. Amalkan setiap hari sebelum mandi.


TH: Dilain Entri TH akan hidangkan lagi pelbagai petua2 untuk tatapan korang key...

Wednesday, June 2, 2010

Kompang...



Sebut sahaja kompang, dalam fikiran kita terbayang majlis perkahwinan orang Melayu. Kompang sinonim dengan majlis-majlis keraian orang Melayu terutamanya semasa majlis perkahwinan atau menyambut tetamu kehormat. Tidak berseri rasanya sesuatu majlis keraian orang Melayu jika alat muzik tradisional ini tidak dipalukan.



Kompang merupakan sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi orang melayu sejak dari dulu lagi. Ia tergolong didalam kumpulan alat muzik gendang.

Alat muzik ini sebenarnya berasal dari tanah arab dan dipercayai telah dibawa masuk ke tanah melayu semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka oleh pedagang india muslim atau melalui Jawa pada abad ke 13 oleh pedagang Arab.Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing. Pada bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayudiselitkan seurat rotan. Tujuannya untuk menegangkan permukaan kompang dan bunyi kompang akan kedengaran dengan lebih kuat lagi. Dikala ini kerana dek sukarnya mendapatkan seurat rotan maka ia telah digantikan dengan gelung plastik.


Ukur lilit kompang ialah enam belas inci dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.


Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak lagu.

Bunyi yang berlainan akan dapat dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi 'bum' di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup atau dirapatkan. Bunyi 'pak' di perolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.

Paluan kompang terbahagi kepada dua bahagian iaitu paluan tradisi dan paluan moden ataupun kreatif. Paluan tradisi adalah paluan dimana memukul kompang sambil menyanyi ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahasa Melayu klasik. Paluan moden pula diselitkan dengan gerakan ataupun tarian berdasarkan rentak lagu melayu kini.

Kini warisan kesenian melayu ini makin sukar untuk dipertahankan. Generasi muda kini kurang ghairah untuk bermain kompang. Anggapan permainan kompang ini merupakan satu muzik yang kolot perlu dikikis daripada minda anak-anak muda kini. Penerapan nilai-nilai kemelayuan mesti diteruskan walau pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu diharungi bagi mempertahankan kesenian warisan melayu sejak zaman-berzaman.

Syabas diucapkan kepada persatuan-persatuan belia peringkat kampung, daerah dan negeri yang telah menubuhkan persatuan kompang bagi memastikan warisan berzaman ini terus berkekalan. Penganjuran aktiviti pertandingan kompang yang seringkali diadakan kini merupakan satu langkah yang positif dan perlu diberi galakan yang berterusan.



TH: Untuk menyaksikan permainan kompang jumputlah datang ke Melaka semasa majlis perkahwinan pastinya korang akan dapat menyaksikan kelainan dalam permainan kompangnya.
Protected by Copyscape Plagiarism Software