Monday, January 25, 2010

Tengkolok Hitam Blogger ke -100

Terima kasih buat Blogger Azrul Hisham kerana memberi ucapan penghargaan kepada Tengkolok Hitam setelah menjadi followernya yang ke-100....

Tak sangka lak TH dapat jadik Blogger yang ke-100 untuk Blog beliau iaitu REALITI SEBUAH PENGALAMAN SEORANG INSAN. Sebuah blog yang menarik berkisarkan kehidupan beliau dan diselitkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan juga isu-isu semasa. Semoga hubungan sebagai sahabat blogger berterusan selamanya...

Buat beliau, semoga success selalu dan Selamat berblog.

Terima Kasih



~Blog Azrul Hisham~


~Penghargaan dari Blogger Azrul Hisham buat TH~


ps: rasa terharu bila ada yang sudi menghargai...
hehe...feeling le pulak
...

Jadilah Blogger yang Beretika...

Moga insiden yang tak sepatutnya berlaku di sebuah negara beraja ini akan menjadi satu iktibar dan tidak berulang lagi di masa hadapan. Berat rasanya kenyataan blogger tersebut terhadap Almarhum Sultan yang amat dihormati dan disayangi rakyat.

Jadilah seorang rakyat yang berjasa kepada negara. Belajarlah menghormati orang lain. Didiklah masyarakat kita dengan sesuatu yang menjurus kearah kebaikan. Belajarlah berfikiran positif. Jika semua yang ada, tidak betul dimata kita, siapa lagi yang boleh kita percayai. Diri sendiri???. Muhasabah diri, kenali diri...kelakkan tahu akan keindahan dan kebenaran hakiki. Ingatlah Islam tidak pernah mengajar umatnya bersikap demikian.

Apakah cukup dengan sekadar memohon maaf dan menarik balik artikel tersebut, dapat memadamkan api kemarahan rakyat dan Institusi DiRaja?. Lupakah akan sejarah kita...lupakah akan makna Sultan dan Raja...lupakah akan makna derhaka...lupakah akan hukumannya...Nasi sudah menjadi bubur....terlajak perahu boleh diundur...telajak kata buruk padahnya...inilah akibatnya jika terlalu asyik dan asyik...renung-renungkanlah...

Ini prinsip Rukun negara yang Ke-2 :-

Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

Semua rakyat dituntut setia kepada raja dan negara. Yang di Pertuan Agong merupakan Ketua Negara dan Raja Melayu merupakan Ketua Negeri. Raja adalah simbol penyatuan rakyat dan pelindung hak istimewa peribumi. Penderhaka kepada raja juga bermaksud penderhaka kepada negara.




Sunday, January 24, 2010

Pengorbanan Dalam Kenangan

Baru-baru ini aku berkesempatan mengunakan laluan FT4 atau lebih dikenali sebagai Lebuhraya Timur Barat, iaitu laluan dari Jeli ke Grik untuk ke Perlis. Itulah pertama kali aku mengunakan laluan tersebut dari Kemaman, Terengganu ke Jeli Kelantan terus ke negeri Kedah, melalui Grik, Perak.

Apa yang mengkagumkan aku ialah pemandangan di sepanjang laluan tersebut yang amat indah. Sepanjang perjalanan aku ditemani oleh gunung-ganang, bukit bukau yang berbalam-balam, hutan belantara yang kehijauan dan disulami oleh kabus nipis dan kadang kala menebal yang bergerak perlahan. Indahnya bumi Malaysia. Betapa beruntungnya aku rasa kerana dilahirkan di negara ini.

Sebenarnya bukan keindahan laluan disepanjang FT4 yang ingin aku ceritakan disini tetapi apa yang lebih penting dari itu. Ya, lebih penting daripada keindahan yang dapat kita kecapi kini. Apa yang aku maksudkan adalah pengorbanan. Pengorbanan segelintir anak bangsa yang sudi mempertaruhkan nyawa demi pembangunan dan masa depan negara.

Dalam perjalanan pulang, aku berkesempatan untuk singgah melihat sebuah tugu yang dibina untuk memperingati jasa mereka-mereka yang telah terkorban semasa menyiapkan laluan FT4 ini. Terkejut juga aku bila melihat angka yang tercedera malah ada yang terkorban semasa menyiapkan laluan Grik ke Jeli ini.

Rupanya laluan yang indah ini penuh dengan sejarah tragisnya, antara air mata dan darah. Air mata dari ahli keluarga mangsa dan darah merah dari tubuh mereka yang tercedera dan terkorban. Terima Kasih wahai Perwira Negara. Semoga jasa baktimu ini tidak dipersiakan oleh anak cucumu kelak. Al-Fatihah kepada arwah-arwah mereka yang telah terkorban.



~Tugu Peringatan di letakkan ditepi laluan FT4 di dalam Daerah Grik~


~Catatan yang terdapat pada Tugu Peringatan~

~Pemandangan gunung-ganang yang memukau pandangan, di sebalik gunung- ganang tersebut terletaknya negara Thailand~

~Mungkin inilah lokasi serang hendap pihak komunis terhadap pasukan tentera dan JKR~

~Jambatan Tasik Banding~

~Tasik Banding, Hulu Perak~



~Kubu peninggalan anggota keselamatan, berhampiran Tasik Banding~


~Orang Asli Tasik Banding mengunakan laluan FT4 untuk mencari rezeki. Nampak tak sumpit tu...?~

............................................................


Catatan yang tertulis....

PENGORBANAN DALAM KENANGAN

JALAN RAYA TIMUR BARAT (1970-1982)

Jalan Raya Timur Barat (Gerik-Jeli) telah dibuka kepada lalu lintas pada 1hb Julai 1982. Banyak nyawa telah terkorban semasa kerja pembinaan dilaksanakan mulai tahun 1970.

Ada yang terkorban semasa kemalangan didalam kerja pembinaan dan ada yang diserang oleh pengganas komunis.

Di lokasi ini, 63 buah mesin jentolak tanah telah diletupkan oleh pengganas komunis pada 23hb Mei 1974. Di lokasi ini juga 3 nyawa pekerja JKR telah terkorban dan beberapa lagi cedera dalam serangan pengganas pada 27hb Ogos 1974.

Beberapa serangan lain telah juga berlaku di sepanjang Jalan Raya Timur Barat yang melibatkan nyawa dan kecederaan pekerja JKR dan anggota Pasukan Keselamatan. Kita memperingati semua yang telah berkorban nyawa bagi menjayakan pembinaan Jalan Raya Timur Barat ini.

Sila sedekahkan AL-Fatihah pada orang-orang yang terkorban disini.

...............................................

Thursday, January 21, 2010

Udang Galah Sg. Kemaman

Baru-baru ini aku terima kiriman foto dari sahabat aku Jalil. Beliau berasal dari Kemaman , Terengganu. Jalil ini memang seorang kaki pancing, tak kiralah pancing laut, sungai, tasik atau paya. Sebut je pasal bab memancing, dia memang expert, lebih-lebih lagi pasal bab memancing ikan air tawar. Tetapi kali ini aku nak bercerita pasal dia menangkap udang galah di Sungai Kemaman. Besar-besar tu udang galah yang ditangkap...sepit biru lagi...saja je tu nak kasi aku panas...tak pe, bukan setakat si sepit biru je tapi dengan sang-sang bedalnya sekali nanti aku tangkap... hahaha...

O.k, sebagai membuktikan kejayaannya menaikkan si sepit biru ni, korang boleh layanlah gambar-gambar yang aku selitkan bersama dalam coretan ini.

Sebelum itu, aku nak cerita sikit pasal udang galah. Nama saintifik udang galah ialah Macrobracium rosebergii de man. So... suka hati koranglah nak panggil nama timbangannya apa...nak panggil rose pun boleh atau deman pun boleh juga...hehe...

Nak tahu tak macamana cara untuk kenal yang mana satu jantan atau betina...si sepit biru ni?

Bagi udang jantan,
kaki ke 2 nya besar. Sepitnya juga besar dan panjang.
Cuba lihat kat bahagian perutnya, si jantan ni lebih ramping dari si betina dan bahagian bawah perutnya kelihatan sempit. Bahagian kepalanya pula lebih besar dari si betina.
Alat kelaminnya terletak pada pangkal kaki jalannya yang ke 5.

Bagi udang betina
pula... bahagian kaki ke 2 nya kecil manakala sepit yang ke 2nya pula pendek.
Lihat bahagian perutnya ia lebih gemuk dan lebar. Bahagian perutnya yang gemuk dan lebar dapat memudahkan si betina ini mengeramkan telurnya.
Bahagian kepalanya lebih kecil dari si jantan.
Alat kelamin udang betina ini terletak pada bahagian kaki jalannya yang ke 3.


O.k, jom kita tengok foto hasil tangkapan udang dari saudara Jalil...lepas tu bolehlah teka Si Jalil ni dapat tangkap udang jantan ke betina...


~Sg. Kemaman...telah tersohor seluruh negara sebagai lubuk memancing Si Sepit Biru~


~Tangkapan pertama 200gram~


~O.k...cuba teka, jantan ke betina?~


~tuu dia...satu tangkapan yang membanggakan....Jalil dari Kemaman~

Tangkapan: Udang Galah
Lokasi: Sg. Kemaman
Waktu: Petang
Umpan: Udang Beras & Cacing



~Lumayan....hasil tangkapan 2 kg selama 2 jam~

Tuesday, January 19, 2010

Pesilat Cilik Kampung Gangsa...

Catatan aku kali ini akan berkisarkan persilatan di dalam adat perkahwinan. Salah satu cara untuk pengamal persilatan melayu kita mempromosikan silat melayu ini adalah dengan melalui majlis-majlis keramaian contohnya di majlis-majlis perkahwinan. Silat dalam majlis perkahwinan bukan sahaja dapat memeriahkan suasana majlis tetapi ia dapat mengembalikan kepopularan budaya ini di hati generasi-generasi baru.

Foto-foto dibawah diambil semasa majlis perkahwinan saudara aku yang diadakan di rumahnya di Kg. Gangsa, Durian Tunggal, Melaka.

Macam biasalah kalau ada majlis perkahwinan kita pasti akan dijamukan dengan pertunjukan silat... tak kiralah silat pengantin ke..., silat pulut ke... atau silat tempur...ada sahaja individu yang sudi menghadiahkan selangkah dua bunga atau buah silat...tidak berseri kalau tidak ada silat...agaknya ramai lagi kot cucu cicit Hang Tuah kat Melaka ni...

Pertunjukan silat pada Majlis Perkahwinan ini adalah dari Gelanggang Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Cawangan Kg. Gangsa, Durian Tunggal, Melaka.

Antara pertunjukan yang telah dipersembahkan ialah Sembah Perguruan (Bunga Tanjong), Asas Gerakan, Buah Pukulan dan Elakan Asas, Kuncian, Tempur Tanpa Senjata (combat), Permainan Senjata, Pemecahan Genting dan Ujian Keberanian, ketahanan mental serta keyakinan diri (lompatan ke atas kaca).

~Pabila paluan kompang mula bergema, semua mata tertumpu kepada wajah-wajah Raja Sehari yang sama cantik, sama padan bagai pinang dibelah dua~


~Para pesilat sudah tidak sabar untuk memulakan persembahan kepada Raja Sehari dan para hadirin.~

~Sembah perguruan sebelum memulakan persembahan~


~"Gayong...gayong sedia" terdengar suara arahan daripada jurulatih...cuba lihat kat bahagian belakang tu...pesilat-pesilat cilik...melentur buluh biar dari rebungnya~


~Antara hadirin yang menyaksikan pertunjukan ini~


~Pesilat mempersembahkan seni gerakan Bunga Tanjung~


~Ilmu persilatan diperturunkan ke generasi baru~


~Aksi pemecahan genting~


~Begitulah wajah-wajah hadirin dan pengantin apabila melihat adengan yang mendebarkan, tempur tanpa senjata dan permainan senjata...~


~Ini dia Si Cilik yang aku maksudkan...Mohd Thaqib akan melakukan lompatan keatas taburan serpihan kaca botol bagi menguji keberanian, ketahanan mental dan keyakinanan dirinya dengan disaksikan oleh gurulatih, rakan seperjuangan dan para hadirin~


~Syabas...aksi Thaqib setelah mendarat di atas serpihan kaca botol...kau memang berani ~


~Mengabadikan kenangan bersama Datuk selepas melepasi ujian~


Inilah anak buah aku...bakal pendekar
Nama: Mohd Thaqib bin Mohd Jamil
Umur: 12 tahun
Sek. Ren. Kebangsaan Gangsa, Durian Tunggal, Melaka
Dari Gelanggang Perguruan Silat Seni Gayong Malaysia
Kg Gangsa, Durian Tunggal Melaka


~Tersemat di kepala itulah yang dipanggil Tengkolok Hitam~




Tengkolok Hitam:
"Bawalah ilmu ke jalan kebaikan yang diredai Allah"
"Dalam Silat ada Melayu, Dalam Melayu Ada Silat"

Thursday, January 14, 2010

Kisah Pontianak Tanjong....

Sudah lama rasanya aku tak coretkan kisah seram dan misteri. Coretan kali ni aku nak bercerita kisah Pontianak Tanjong yang hangat diperkatakan di kampung aku dan kampung-kampung sekitar pada sekitar tahun 2003 yang lalu dan ketika ini pun masih ada yang dikatakan terserempak dengannya. Waallahualam...
Menurut cerita dari mulut ke mulut orang-orang kampung, di awal tahun 2003 yang lalu terdapat sebatang pokok besar berhampiran sebuah tanah perkuburan berhampiran kampung aku di Melaka. Pokok besar tersebut samalah seperti pokok besar yang lainnya, tiada apa yang menariknya pun. Sehinggalah pada suatu hari, pokok tersebut telah ditebang untuk tujuan pembersihan kawasan sekeliling.

Bermula dari situlah cerita orang-orang kampung yang melihat lembaga berwarna putih, berambut panjang mengerbang sambil terbang dan mengilai di atas-atas pokok besar mula kedengaran.

Ada yang terserempak ketika balik dari memancing di pantai yang berhampiran, ada yang ternampak lembaga tersebut berdiri di hentian bas, juga ada yang dikejar oleh lembaga itu ketika sedang menunggang motorsikal ketika balik dari bekerja malam dan yang paling mudah untuk ditemui ialah di atas sebatang pohon besar di tepi jalan berdekatan sebuah hentian bas. ketika itu kalau nak tengok pontianak datanglah ke situ, boleh tengok pontianak mengilai sambil bertengek secara berkumpulan atau perseorangan dan lepas apa lagi cabutlahhh...

Apa yang aku nak ceritakan disini ialah kisah pengalaman orang-orang yang terdekat dengan aku yang terserempak dengan Pontianak Tanjong. Cerita-cerita seram yang aku coretkan ini adalah secebis pengalaman kisah benar yang ingin dikongsikan bersama dengan pembaca.




1) Pangalaman adik aku , Saiful (sikaki pancing tu...ingat lagi tak...)


Seperti apa yang diceritakan oleh beliau, kejadian itu berlaku ketika beliau balik ke rumah selepas melepak berjam-jam dengan kawannya sehingga awal pagi iaitu lebih kurang jam 1 lebih.
Biasalah kalau keluar melepak tu, motor kriss ayah akulah yang jadik mangsa. Perjalanan untuk ke rumah aku mengambil masa dalam 10 minit jee...dengan kelajuan motorlahkan, kalau berjalan kaki berpeluh jugalah ketiak...untuk sampai ke rumah aku kenalah melalui laluan gelap sikit sebab kedudukan rumah aku yang agak jauh kebelakang.

Sampai sahaja disatu selekoh lebih kurang 100m sahaja dari rumah tiba-tiba...

Tiba-tiba dia rasa seperti ada sesuatu yang mengekorinya dari arah belakang. Sama laju dengan kelajuan motor. Bila ditoleh kebelakang hah apalagi...terkejut beruklah dia....dengan sekilas pandang dia dapat melihat kain putih dan rambut panjang bergerbangan betul-betul kat belakang kanan kepalanya.

Makk aii...tak boleh jadik ni...pecutttt...tak ingat apa-apa lagi...yang dia tahu dah ada kat dalam rumah jee...dari ceritanya aku dapat bayangkan dia pecut dan lari masuk ke rumah macam kartun...hehe...katanya lagi dia bukannya takut tapi terkejut jee...alasan le tu...hehe

Pagi esoknya...kedengaran kecoh kat bahagian dapur rumah separa papan mak aku...yang pastinya ada satu dialog dari Mak aku yang boleh menyebabkan rasa nak terburai isi perut aku apabila mendengarnya...."Laillahailallah...siapa punya kerja ni...., sampai pecah pintu dapur rumah aku....Saipollllll!!!!" jerit Mak aku.

Itulah kisahnya dalam seram ada kelakar, semuanya gara-gara takutkan Pontianak Tanjong, habis roboh pintu dapur rumah mak aku dilanggarnya dengan motor, dalam berani dia rupanya penakut jugak...Ha...Ha...Ha...




2) Lagi Pengalaman Saiful dengan Kak Ponti...


Sebulan selepas peristiwa berlumba dengan pontianak, sekali lagi Saiful disakat pontianak. Kali ini beliau disakat pontianak bersama dengan saudaraku Fazli atau nama glamornya Pali. Kisah seramnya begini. Pada suatu malam selepas habis aktiviti melepak, beliau telah dihantar pulang ke rumah oleh dak Pali dengan kancilnya kerana motor kriss ayah aku rosak (mungkin rosak sebab racing dengan kak Ponti kot)....

Setelah sampai sahaja dihalaman rumah dan memberhentikan kancilnya, mereka bersembang-sembang seketika sebelum Saiful keluar dari kereta. Sebaik sahaja pintu kereta dibuka tiba-tiba...

Tiba-tiba mata masing-masing tertumpu ke atas bumbung rumah. Nyaring dan jelas kedengaran suara hilaian namun tiada kelibat yang kelihatan di atas bumbung itu. Ingatan kejadian sebulan yang lalu tiba-tiba bermain semula di kepala Saiful. Mereka saling berpandangan tapi tiada sepatah perkataan pun yang dapat diucapkan. Air muka masing-masing sudah berubah. Pelan-pelan Saiful masuk kembali ke dalam kereta dan merapatkan pintu dengan sekemas-kemasnya. "Pontianak...." sepatah je ucapan Saiful kepada dak Pali. Pantas dak Pali mengganguk-anggukkan kepala tanda faham insyarat yang diberikan...

"Tok..tok..tok..bangun..bangun.." sayup-sayup kedengaran bunyi satu ketukan dan panggilan. "Laa..apa pasal tidur kat dalam kereta ni" tanya emak aku kepada Saiful dan Pali. Sekali lagi mereka berpandangan sesama sendiri dengan muka kelat masin, sambil mengeliat kerana baru terjaga dari tidur. Walaubagaimanapun masing-masing tidak menjawab pertanyaan emak aku.

"Dah, pergi basuh muka...lepas tu...sarapan pagi, ajak dak Pali sekali" kata emak aku kepada Saiful. Lepas minum pagi barulah masing-masing menceritakan apa sebenarnya yang telah berlaku malam tadi dan yang telah menyebabkan mereka tidur di dalam kereta kepada emak aku. Emak aku senyum jee selepas mendengar cerita mereka.

Menurut kata dak Pali, beliau tidur dalam kereta sebab takut nak balik...takut pontianak tu tumpang kereta kancilnya. Alasan dak Saiful pula, sebab dia tidur dalam kereta ialah kerana nak temankan dak Pali...hehehe...boleh percaya ke...nak temankan ke...atau takut nak keluar dari kereta...hehe...jangan marahh







3) Pengalaman Faizal, jiran sekampung ...


Faizal atau nama glamornya dak Ijal merupakan jiran aku yang selalu pulang malam kerana berkerja di sebuah kilang berhampiran. Pada suatu malam seperti biasa beliau balik berjalan kaki seorang diri tiba-tiba....

Tiba-tiba langkah kakinya terhenti apabila terlihat satu lembaga putih bertengek di atas bumbung rumah Abang Man. Lembaga putih itu mengilai-gilai dengan suara yang nyaring. Menurut katanya, bunyi lembaga tu mengilai macam bunyi seakan-akan suara kucing atau burung dan lebih kepada nada manusia mengilai...lebih kurang begitulah sebab bunyi tersebut menurut beliau adalah suatu bunyi yang tidak pernah didengar sebelum ini dan agak sukar untuk ditiru.

Tiba-tiba pintu rumah abang Man terbuka. Kelihatan Abang Man keluar tergesa-gesa dari rumah menuju kehalaman sambil terbongkok-bongkok mengutip anak-anak batu. Kemudian kelihatan abang man membalingnya keatas bumbung rumah.

"Eerr...buat apa tu Abang Man.." tegur Ijal pelik melihat perbuatan Abang Man sambil menuju kearah Abang Man.

"Ehh...kau Ijal, tak perasan aku, baru balik dari kerja ke..." balas Abang Man.

"Ya, baru balik..nampak abang Man tergesa-gesa je tadi, lepas tu baling batu keatas bumbung...kenapa?" soal Ijal pula, saja ditanya soalan itu kepada Abang Man.

"Tak tau lah..bising je kat atas bumbung rumah aku tadi...tu yang aku kutip batu dan lempar ke atas bumbung, ada binatang kat atas bumbung rasanya...bising...tengah sedap-sedap tidur...tetiba terjaga" kata Abang Man.
"Emm...Abang Man kalau saya beritahu, Abang Man jangan terkejut ye.."balas Ijal.

"Apa dia.." cepat je balas abang Man tak sabar ingin tahu.
"Saya nampak pontianak kat atas bumbung rumah abang tadi, mengilai-gilai...matanya merah menyala...muka tak berapa jelas sebab gelap...berkain putih dan rambut panjang mengerbang...bila abang buka pintu tadi dan keluar untuk ambil batu...tiba-tiba bila saya tenggok balik kat atas bumbung...pontianak tu dah tak ada..." panjang lebar dan bersungguh dak Ijal menceritakan kepada Abang Man.

Jauh di lubuk hatinya...dia bersyukur sebab Abang Man keluar dari rumah tadi, kalau tidak sudah tentulah dia balik ke rumah bertemankan Kak Ponti.


~Beginikah renungan mata Pontianak Tanjong?~






4) Pengalaman Abang Man dengan Pontianak Tanjong

Ini pula kisah Abang Man terserempak dengan Pontianak Tanjong, Abang Man juga merupakan jiran sekampung. Kerjanya ialah sebagai seorang nelayan. Kadang-kala beliau pergi ke laut pada sebelah siang dan kadang-kala ke laut pada sebelah malam.

Hendak dijadikan cerita pada suatu malam sewaktu beliau pulang dari menangkap ikan, beliau telah terserempak dengan Pontianak Tanjong. Kisahnya begini, seperti biasa selepas habis urusan di pantai beliau akan terus pulang ke rumah dengan membawa hasil tangkapan. Bergema bunyi enjin motor Ex-5 model tahun 80an miliknya meredahi kegelapan malam. Setelah hampir 10 minit meredah kegelapan, beliau tiba ke simpang jalan masuk ke kampung. Masuk sahaja kepala simpang tiba-tiba sahaja beliau merasa lain macam sahaja.

Kabus pada awal dinihari agak tebal juga, menyebabkan pandangan menjadi samar-samar. Dalam dia meredah kesamaran malam, tiba-tiba terlihat satu lembaga putih berambut panjang berdiri tegak di kaki jalan anggaran 30m dihadapannya.

"Ahhh...dia datang dah..." getus hatinya. Memang beliau sering mendengar cerita Pontianak Tanjong ini menganggu orang kampung sejak akhir-akhir ini namun tidak dihiraukannya demi sesuap nasi untuk anak-anak dan isteri.

Memang benar semakin dekat semakin jelas kelihatan lembaga putih berambut panjang itu berdiri di tepi jalan macam patung. Mulutnya berkumat-kamit membaca ayat-ayat suci bagi menghindarkan gangguan yang sedang dihadapinya. Apabila jarak motornya semakin dekat, beliau terus memecut menambahkan kelajuan motor. Mengaum bunyi enjin motornya, berdesup meninggalkan lembaga putih itu.

Beliau bersyukur kerana tiada apa-apa yang berlaku terhadap dirinya selepas itu. Enjin motorsikalnya tidak mati seperti cerita-cerita hantu dalam televisyen dan juga bernasib baik kerana tidak ditumpangi oleh Kak Ponti. Namun pengalaman bertemu dengan Pontianak Tanjong memang tidak dapat dilupakan oleh beliau sehingga ke hari ini.
Sehingga kini kadangkala terdengar juga sesekali Pontianak Tanjong ini menjelmakan diri untuk dilihat oleh orang-orang kampung.


Sekian....


~ Beginikah rupa Pontianak Tanjong?~



~Atau yang secantik ini............?~



p.s: Untuk catatan seram seterusnya akan aku coretkan pengalaman-pengalaman dari ahli keluarga aku yang lain pula...

Friday, January 8, 2010

Indahnya Budaya Melayu....

sambungan dari (5).........(6)


Memulakan Acara

Makan sudah,
Minum pun sudah,
Pembasuh mulut sudah dinikmati.
Sudu dan garfu sudah diletakkan,
Tangan yang berkuah sudah dibasuh,
Bibir yang berminyak sudah dilap,
Marilah kita mulakan acara...

............

Tepung Tawar

Tepung Tawar adat sejati,
Tidak berpisah sampai mati.
Tepung tawar berberas bertih,
Supaya hati sentiasa kasih.
Tepung tawar berberas kunyit,
Supaya jauh semua penyakit.
Tepung tawar berbunga rampai,
Biar dikasih sahabat handai.
Tepung tawar mengandung inai,
Sehingga mati baru bercerai.

...........

Selesai Tepung tawar

Tepung tawar sudah berlalu,
Diiring doa restu,
Semoga kasih makin berpadu.
Bagai ruas dengan buku,
Bagai daging dengan kuku.
Hidup di air satu perahu,
Hidup di darat satu kelambu.
Bagai aur dengan tebing,
Bagai kuku dengan daging.
bagai mata putih dengan mata hitam,
Bagai bintang dengan malam.
Bagai terang dengan siang,
bagai itik pulang petang.

.........

Anda juga mungkin ingin membaca coretan
Indahnya Budaya Melayu yang lalu...
dari orang lama kita




Indahnya Budaya Melayu....

dari catatan(4)......(5)

Sila Makan

Hidangan kami tidak seberapa,
Sudilah tuan jamah sahaja.
Sekadar umbut dari belukar,
Labu dari gunung.

Ikan dari paya ,
Sedikit daging dan madu lebah.
Silakan tuan jamah,

dengan Bismillah...


...........

Makan Beradat

Santap beradat, santap istiadat,
Santap mempelai majlis kebesaran,

Santap meraikan, hormat-menghormati,
Bukan santap hendakkan kenyang,

Santap santun dengan aturan,
Nasi disuap tangan kanan,
Lauk diambil sopan-santun,

Sampai ke mulut mamah perlahan,

Diiring seteguk minuman,
Dua suap ketiga sudah,

Keempat basuh tangan,
Kelima makan halwa,

Keenam makan sirih,
Kelatnya jauh ke rengkung,

Serinya naik ke muka,
Ketujuh makan buah-buahan,

Kelapan minum manisan,

Itulah santap adat kebesaran,

Dalam adat zaman berzaman.


........

Selepas Makan

Kami mohon maaf kalau...
Kuah terlebih garam,

Gulai terlebih pedas,

Kopi terlebih gula,
Nasi ada yang mentah.

Kami mohon maaf kalau...
Santan kurang lemak,
Sambal kurang pedas,
Rendang kurang serai, Ulam kurang pucuk.


ps: bersambung...
Anda juga mungkin ingin membaca coretan
Indahnya Budaya Melayu yang lalu...


Apa yang kembang tu Be....


Sekejap tadi aku dapat MMS dari adik aku Saipol, geng mancing masa aku tinggal kat Kuantan dulu (ingat tak lagi kisah Lubuk Udang Sg, Kuantan).

Ada 5 MMS semuanya. Aku dah agak dah...mesti antau gambau dia memancing. Dari MMS yang dihantar, katanya aktiviti memancing tersebut dilakukan pada hari Sabtu dan Ahad lepas. Aktiviti memancing bermula pada petang Sabtu dan berakhir pada pagi Ahad bersama-sama dengan beberapa orang kawannya.

Dengau macam best je...bikin aku rasa nak meleleh air hidung bila gian memancing dah sampai...aku tau saja jee nak perangat kat aku, bagi tak lelap tidur malam...yelah dah lama benar aku tak pergi memancing...busy... busy...

So, aku rasa nak tumpang kembang hidung bersama-sama dengan korang. Tak percaya nanti korang tengoklah dalam gambau kat bawah tu, lubang hidung siapa yang paling kembang...hehe...apa-apa pun aku ucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi berkongsi pengalaman.

Aktiviti memancing ni dilakukan di Tanjong Bidara, Melaka. Walaubagaimanapun terdapat sekeping gambar yang diambil semasa memancing di Jeti Tanjong Bruas, Tg. Kling Melaka.


................................................................



Aiik...ikan belukang jee...emm...kira orait lah tu...2.8 kg...+ dengan ketam sesat sekor...

Lokasi: Pantai Tanjong Bidara
Masa: Petang
Umpan: Ikan Cabuk, adik beradik ikan Parang.

Brader yang kat sebelah tu macam tak puas hati jee...releklah bro belukang jee tu...


Dapat gelama kecik pun jadilah...goreng pon sodapp...

Lokasi: Pantai Tanjong Bidara
Masa: Petang
Umpan: Umpun-umpun pasir.


Muka sedih...apalah nasib pagi ni...hari kedua sekor ikan pun tak sudi nak jamah umpan...
alaah... sebab tak mandi lagilah tu...

Lumayan tu beb...Mat Shah dapat kurau 2.5 kg
Lokasi: Pantai Jeti Tg. Bruas, Tg. Kling
Masa: Petang
Umpan: Ikan Selayang



ps:-Hobi memancing memerlukan tahap kesabaran yang tinggi...

Wednesday, January 6, 2010

Bila Sakit Bertambah Sakit...

Adnan mengidap sakit perut. Dia terus menuju ke klinik berdekatan. Setelah doktor membuat pemeriksaan, doktor mencadangkan supaya perutnya dibedah kerana dipercayai ada ketumbuhan didalamnya.

"Ya Allah... teruk ke doktor?"kata Adnan.

"Kalau dibedah berapa belanjanya doktor?"

"Oh, tak banyak... cuma lebih kurang RM8000 sahaja"

"RM8000??? Mana saya ada duit sebanyak itu," kata Adnan lagi.

"Kalau tak ada sebanyak itu, saya injet sahaja. Awak ada RM25?" tanya doktor itu.

"RM25 adalah. Tapi tak bedah tak apa ke doktor?" tanya Adnan

"Tak ada duit tak apa. Tapi kalau ada duit mesti bedah," kata doktor lagi.





Monday, January 4, 2010

Indahnya Budaya Melayu....


......(4)



Upacara berdoa untuk Pengantin

......

Sebelum berdoa


Tetak buluh panjang sepuluh,
mari jolok sarang penyengat.

Angkat tangan jari sepuluh,
Doa diminta dibiar selamat.

..............

Doa Majlis Persandingan


Ya Allah
Engkaulah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Maha Melindungi lagi Maha Mengampuni,

Kepada-Mu-lah kami meminta segala pertolongan.


Ya Allah,
Sampaikanlah salam dan selawat kami kepada Nabi Besar
junjungan kami Nabi Muhammad SAW.



Ya Allah,

Sampaikanlah salam dan selawat kami kepada ahli-ahli keluarga baginda,
Dan kepada sahabat-sahabat baginda,
Kepada para solihin,
Para mukminin dan mukminat,

Dan para syuhadah,

Yang sudah pergi mendahului kami.



Ya Allah,
Dalam majlis yang permai ini,
Kami memohon kepadaMu,
Ampunilah kedua mempelai yang diraikan malam ini,

Ampunilah kedua ibu bapa mereka,

dan kaum keluarga serta saudara-saudara mereka.



Ya Allah
Ampunilah kami sekelian yang hadir dalam majlis ini,
dan ampunilah kedua ibu bapa kami,

dan kaum keluarga serta saudara-saudara kami.



Ya Allah,
Berkatilah perkahwinan ini,
Sebagaimana Engkau memberkati perkahwinan

Junjungan kami dengan Siti Khadijah dan Siti Aishah,


Sebagaimana Engkau memberkati perkahwinan

Nabi Ibrahim dengan Siti Hajar dan Siti Sarah,

Sebagaimana engkau memberkati perkahwinan
Nabi Yusuf dengan Siti Zulaikha,


Sebagaimana Engkau memberkati perkahwinan

Nabi Adam dengan Siti Hawa.


Ya Allah
Kami bermohon kepadaMu,
Rahmatilah kedua mempelai ini,
Jadikanlah mereka pasangan yang soleh,
Kurniakanlah kepada mereka keturunan yang soleh.


Ya Allah
Berkatilah mempelai ini dengan kesihatan yang baik, Anak-anak yang baik, Harta daripada rezeki yang baik, Dan jiran tetangga yang baik.


Ya Allah
Bantulah mempelai yang kami raikan ini, Mengeratkan tali silaturrahim kedua keluarga, Menjaga hubungan dengan ibu bapa mertua dan ipar duai mereka, Supaya tidak ada keluarga yang berasa kehilangan, Masing-masing berasa mereka mendapat anggota tambahan.

Ya Allah
Jadikanlah pengantin lelaki malam ini suami yang sangat lembut kepada isterinya, Jadikanlah pengantin perempuan ini isteri yang sangat taat dan patuh kepada suaminya.


Ya Allah
Berikanlah keinsafan dan peringatan kepada mempelai ini,
Keredhaan Allah ke atas anak bergantung kepada
keredaan ibu bapanya,
Keredhaan Allah ke atas isteri bergantung kepada
keredhaan suaminya.
Maka janganlah sampai mereka mendahulukan
kepentingan diri mereka daripada mendahulukan
kepentingan ibu bapanya.


Ya Allah
Engkaulah Tuhan yang Maha Pemurah Lagi Maha
Mengasihani,
Kabulkanlah doa kami,

AMIN Ya Rabbul Alamin




bersambung......

Anda juga mungkin ingin membaca coretan
Indahnya Budaya Melayu yang lalu...
dari orang-orang lama...


ikutilah coretan seterusnya dari...

Indahnya Budaya Melayu....

......(3)


Pengantin Tiba


Orang ke laut menjala udang
petang hari pasang pelita.

Yang ditunggu sudah pundatang,
Yang dinanti sudah pun tiba.

........

Mempersilakan pengantin Naik Pelamin

Paduka Raja sudah tiba,
Pemaisuri sudah menanti.

Para pahlawan sudah berdiri,
Dayang-dayang sudah bersimpuh.

Gong sudah dipalu,
Selawat sudah dibaca.


Permaidani sudah dibentang,
Tepung tawar sudah tersedia.

Persada bersanding sudah dihias,
hadirin sudah lama menunggu.

Capal sudah ditinggalkan,
Kaki sudah dibasuh.

Silakan naik, majukan langkah...


bersambung....

Anda juga mungkin ingin membaca coretan
Indahnya Budaya Melayu yang lalu...
dari orang-orang lama...





tunggu coretan seterusnya dari...

Indahnya Budaya Melayu....


......(2)

Menghargai Tetamu


Tuan datang dari dekat dan dari jauh,
Memanjat tujuh gunung,
menyeberangi tujuh lautan
,
Akhirnya sampai juga ke pondok kami.

Disawah tuan padi sedang masak,
Pipit sudah mula datang,

Elok hari sedang panas,
Musim hujan hampir tiba,

Sanggup tuan tinggalkan,

Semata-mata kerana menerima undangan kami.

Didusun tuan durian sudah mula jatuh,
Rambutan sedang merah menyala,

Manggis hampir hitam,
Beruk sudah datang,
Tupai makin banyak,

Sanggup tuan tinggalkan,
Untuk makan dikenduri kami.

Kapal di pengkalan sudah menunggu,
Tiket sudah dibeli,

Tuan tidak jadi naik,
Kerana teringatkan undangan kami.

........

Memuliakan Tetamu


Yang besar disebut gelarannya.
Yang kecil disebut namanya
,

Yang raja dimuliakan daulatnya,
Yang dato' dimuliakan tuahnya.


Yang penghulu dimuliakan ilmunya,
Yang ulamak dimuliakan alimnya.

Yang pandai dimuliakan bijaksananya,

Yang tua dimuliakan
pengalamannya.

Yang muda disayangi,
Yang kecil dikasihi.




Bersambung....

Anda juga mungkin ingin membaca coretan
Indahnya Budaya Melayu yang lalu...
dari orang-orang lama...




ps:tunggu coretan seterusnya dari...



Sunday, January 3, 2010

Indahnya Budaya Melayu....


......(1)

Kita
selalu menghadiri majlis-majlis pertunangan dan perkahwinan. Kita juga selalu dapat melihat dan mendengar pantun dan gurindam dialunkan oleh orang-orang lama.

Tetapi sedarkah kita yang suatu hari nanti orang-orang lama ini akan pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Yang tinggal hanyalah kenangan. Kenangan manis melihat telatah orang-orang lama kita...bergurau senda, usik-mengusik... ada yang bersila juga ada yang bersimpuh...berbalas-balas pantun sudah semestinya. Harmoninya suasana itu...hubungan silaturrahim mula bertaut mesra tanda persetujuan satu ikatan dua keluarga dengan hati yang penuh keikhlasan dan kerelaan.

Kenangan tetap kenangan. Kita sekarang mewarisi peninggalan. Apa yang ditinggalkan adalah keindahan. Keindahan budaya dari generasi lama kita.

Siapa pula giliran Sang Pemantun pembuka bicara , siapa pula yang bakal menyambut pantun dan seloka dan siapa pula bakal Sang Pembawa Majlis...

Kitalah bakal menjadi orang-orang lama. Orang-orang lama yang bakal mewariskan budaya lapok kepada anak-anak dan cucu-cucu kita.

Jangan sesekali kita menjadi melayu hanya pada nama. Melayu akan menjadi layu jika hilang identitinya.

Untuk coretan kali ini aku ingin palitkan pantun dan seloka. Pantun dan seloka peninggalan orang-orang lama yang sempat aku kumpulkan untuk tatapan bersama. Pantun dan gurindam dalam majlis masyarakat melayu kita. Terima kasih yang tidak terhingga kepada orang lama pencipta kepada pantun dan gurindam ini. Pantun dan gurindam dibawah ini digunakan semasa menguruskan majlis-majlis perkahwinan.


Pembuka Kata

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di pohon buluh,

Bukan sembah sebarang sembah,

Sembah bersusun sepuluh jari.


Bukan lebah sebarang lebah,
lebah bersarang di pohon nangka,

Bukan sembah sebarang
sembah,
Sembah dengan adat pusaka.

........

Menyambut Tetamu

Batu kecubung warna unggu,
Ditatah berlian batu bermutu,
Adat melayu menyambut tetamu,
Hamparkan tikar lebarkan pintu.

Kedatangan tetamu yang mulia,
Kami tunggu dengan dada lapang,
Kami tunggu dengan kasih sayang.


Kami sambut dengan sukacita,

kami terima dengan hati suci.


........

Undangan

Yang jauh diundang dengan surat,
Yang dekat diundang dengan tepak.

Kini yang diundang sudah tiba,

Yang dipesan sudah datang.


Yang dipanggil sudah disahut,

Kalau gayung sudah bersambut.


........

Apabila tetamu semua sudah sampai

Yang dari bukit datang menurun,
Yang dari lembah datang mendaki.


Yang dari pulau datang berlayar,

Yang dari hulu datang berdayung.


Yang buta datang bertuntun,
Yang tempang datang bertongkat.


Sekarang....

semua sudah berhimpun dimajlis ini.


Yang duduk sudah bertemu lutut,
Yang berdiri sudah bertemu bahu.


Atas nama yang empunya majlis,
Atas nama yang empunya hajat,
Atas nama kaum kerabat,

Ketibaan jemputan yang mulia,

Kami sambut dengan adat.


Bersambung......

tunggu coretan seterusnya dari...

Saturday, January 2, 2010

PESTA KACAU BUBUR ASYURA KG. GONG PAUH

Semalam aku berkesempatan untuk bersama-sama didalam Program Pesta Kacau Bubur Asyura kg. Gong Pauh, Kemaman, Terengganu. Kunjungan aku ke pesta tersebut adalah tidak dirancang. Semasa balik daripada Pasar Chukai, aku lihat banyak kenderaan parking di tepi jalan dihadapan perkarangan Restoran Rezeki Tomyam. Hairan punya pasal, aku pun memperlahankan kenderaan untuk mengetahui apa yang berlaku. Setelah membaca kenyataan dikain pemidang barulah aku faham, rupa-rupanya terdapat pesta kacau bubur asyura, anjuran Ketua Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Kg. Gong Pauh.

Memandangkan pesta sebegini jarang diadakan, maka tergerak pula rasa hati untuk melihat bagaimana bubur asyura dimasak secara bergotong-royong. Meriahlah juga suasana majlis ini. Ramai juga pengunjung yang hadir untuk merasai keenakan bubur asyura. Bubur free...sapa tak nak kan... kalau tak salah aku terdapat 6 ke 7 buah periuk besar untuk diagihkan kepada orang ramai...mana tak nya, tukang makan pun lagi ramai...sekejap je periuk-periuk tu dah kosong.

Alhamdulillah rezeki jangan ditolak. Bubur Asyura kg.Gong Pauh memang sedap. Terima Kasih kepada Penduduk Kampung dan UMNO Caw. Kg. Gong Pauh kerana bersusah payah menganjurkan pesta kacau bubur asyura ini untuk penduduk sekitar.



~1~

~2~

~3~

~4~

~5~

~6~

..............................................................

Membuat bubur asyura merupakan tradisi masyarakat melayu di Malaysia. Tradisi ini disambut pada setiap 10 Muharram kalendar Islam iaitu pada Hari Asyura. Bubur Asyura merupakan sejenis makanan yang diperbuat daripada pelbagai campuran ramuan. Ada yang menyatakan, campuran ramuan tersebut hendaklah terdiri daripada 10 jenis ramuan dan sekiranya ramuan tersebut kurang atau lebih maka ia bukanlah bubur asyura. Terdapat perbagai jenis bubur asyura disebabkan oleh cara pembuatannya yang berbeza. Jenis manis biasanya didapati di utara semenanjung Malaysia. Jenis berempah dan mengandungi daging biasanya didapati di bahagian pantai timur semenanjung malaysia dan jenis seperti bubur lambuk pula biasanya didapati dari Singapura dan ia mengandungi pelbagai ramuan seperti kacang hijau, pisang dan lain-lain.

....................................................................
Slide 11
Asal Usul Bubur Asyura

Pertama: Cerita Bahtera Nabi Nuh a.s.

Banyak laman web menyebut tentang kisah ini. Dinukilkan dalam kitab “Nihayatuz Zain” karangan Syeikh Nawawi Al Banteni, dan di dalam kitab “Nuzhatul Majalis” karangan Syeikh Abdur Rahman Al Ushfuri serta di dalam kitab “Jam’ul Fawaid” karangan Syeikh Daud Al Fathoni. Yang antara lainnya menceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di Bukit Juudi pada Hari Asyura’, maka berkatalah ia pada umatnya :
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S : “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.

Penilaian:
- Cerita seperti ini perlu kepada kajian. Dari manakah sumbernya dan apakah taraf kedudukan kisah ini. Setakat ini saya tidak menemui sebarang petunjuk tentang kisah ini dalam sumber hadis dan atsar. Sesiapa yang menjumpainya, diharap dapat membantu. - Jika kisah ini sahih sekalipun, dan kita menerima kaedah ‘Syarak sebelum kita adalah syarak kita juga’, persoalannya adakah makanan yang dibuat oleh Nabi Nuh a.s. adalah satu bentuk jamuan sempena 10 Muharram, atau ia adalah makanan biasa yang berkebetulan pada tarikh 10 Muharram? - Jika benar kisah ini, dan betul istinbat orang Melayu bahawa disunatkan membuat bubur berdasarkan cerita ini, mengapa tidak ada anjuran daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam atau amalan para sahabat tentang perkara ini?.

Kedua: Hadis Galakan Memberi Keluasan Kepada Keluarga Mungkin sandaran lain bagi jamuan bubur Asyura ialah hadis-hadis tentang memberi galakan supaya pada hari Asyura hendaklah menghulur dan berkongsi kesenangan dengan kaum keluarga.
Hadis yang dimaksudkan ialah:
“Sesiapa memberi keluasan kepada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan memberi keluasan kepadanya sepanjang tahun itu”.
Mungkin kerana mempercayai kelebihan dalam hadis ini, sesetengah orang Islam mahu memberi keluasan kepada kaum keluarga pada hari 10 Muharram, dengan harapan Tuhan akan mempermudahkan rezekinya sepanjang tahun tersebut. Antara bentuk memberi keluasan ialah mengadakan jamuan makanan. Cuma kedudukan hadis ini di sisi ulama hadis adalah paslu atau dhaif. Rujuk: Al-Maudhu’aat oleh Ibn Jauzi 2/572, Al-Manar al-Munif oleh Ibn Qayyim 1/111, Al-Fawaid al-Majmu’ah oleh Syaukani 1/98. Sekali lagi kita terpaksa terima bahawa jika sandaran mengadakan jamuan bubur Asyura ialah hadis ini, sebenarnya ia adalah hadis yang tidak sahih. Jangan terlalu mengharap kepada fadhilat yang belum pasti kesahihannya. Cuma, membuat bubur Asyura itu kalau setakat dijadikan adat, tanpa ada kepercayaan keagamaan, ia bukanlah satu yang salah. Kalau orang Melayu suka berbuka puasa dengan bubur Asyura, buatlah bubur Asyura. Tetapi elakkan kepercayaan yang kurang sahih, seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda.
Wallahu A’lam.

Protected by Copyscape Plagiarism Software