Saturday, April 24, 2010

Misteri Rumah Atuk...3


Sambungan dari MRA...2

Aku masih ingat lagi peristiwa adik aku, Yanti dirasuk penunggu pokok besar berhampiran rumah atuk...ketika itu aku dalam darjah 2.

Ceritanya begini...

Pada suatu petang, kami sekeluarga telah menziarahi rumah moyang (arwah) yang berada tidak jauh dari rumah atuk. Seronok benar kami di rumah moyang sehingga tidak sedar senja mengamit tiba. Ayah memutuskan untuk pulang dengan melalui jalan pintas sahaja kerana jika berjalan kaki mengikut jalan raya jauh sedikit. Untuk melalui jalan pintas ini kami terpaksa melalui anak sungai tempat selalu aku mandi dan menangkap anak-anak ikan. Kemudian kami akan melalui denai bersebelahan sebatang pokok besar yang aku tidak diketahui jenis pokoknya. Aku pernah dilarang oleh nenek untuk melalui denai bersebelahan pokok besar tersebut ketika waktu senja dan malam. Katanya tempat tersebut tak elok. Tak elok macamana tak tahu pula aku.

Ketika melalui denai, keadaan sekeliling telah semakin gelap. Kami lalui denai itu dengan penuh hati-hati takut tersandung akar dan mungkin boleh menyebabkan terjatuh ke dalam kolam ikan yang berada betul-betul bersebelahan dengan denai. Takut gak ketika itu, kalau aku disuruh berjalan seorang diri...mampus aku tak mahu...nasib baiklah ada mak dan ayah. Adik aku, Yanti ketika itu baru berusia 5 tahun telah didukung oleh ayah. Bunyi katak kuang bersahut-sahutan dari celah-celah rumput ditepi kolam. Kuat bunyi katak kuang tadi tiba-tiba terhenti apabila kami melalui betul-betul bersebelahan dengan pokok besar. Sunyi...terasa tiba-tiba...aku lihat mak dan ayah melajukan langkah perjalanan. Aku yang dipimpin oleh emak terpaksa memanjangkan langkah.

Ketika sampai di rumah atuk, suasana sekitar telah gelap. Lega hati aku bila telah berada di depan rumah atuk. Setelah memberi salam kami masuk ke dalam rumah. Aku dengar suara nenek menegur ayah di dapur kerana membawa kami balik melalui denai pada waktu maghrib . Aku ke dapur mencari air...dahaga. Tiba-tiba aku terdengar suara ibu menjerit memangil ayah dan nenek dari ruang tamu. Kelam-kabut ayah dan nenek menuju ke ruang tamu. Aku juga turut berlari ke sana untuk mengetahui apa yang telah berlaku.

Setelah tiba diruang tamu aku lihat adik aku, Yanti sedang mengerang dan mengeliat. Mata hitamnya naik keatas yang kelihatan hanya mata putih sahaja. Mulutnya berbuih-buih. Seram sejuk apabila melihat keadaan adik aku ketika itu. Kelam-kabut nenek ambil gelas berisi air dan mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu. Kemudian disapunya ke muka adik. Tetapi keadaan adik tetap tidak berubah malah makin kuat dia meracau. Suaranya garau tapi tak jelas butir percakapannya. Aku dengar nenek menyuruh ayah pergi memanggil atuk yang ketika itu sedang berjemaah di Masjid. Setelah ayah dan atuk sampai, tidak berlengah lagi atuk cepat-cepat berusaha mengubatkan adik. Bagaimana atuk ubatkan adik, tidak aku ketahui kerana ketika itu aku sedang duduk jauh di sudut ruang tamu bersama emak. Beberapa minit kemudian suara erangan adik aku,Yanti tidak kedengaran lagi. "Biarkan dia tidur..." kedengaran suara atuk memecah kesunyian. "Itulah, aku dah kata jangan lalu kat pokok besar tu...senja-senja...kan dah kena...", kedengaran suara nenek memarahi ayah.

Aku bertanya kepada emak, apa yang telah belaku pada adik. " Adik mungkin kena sampuk penunggu pokok besar tadi...", ringkas sahaja jawapan emak kepada aku. Sejauh mana kebenarannya...Wallahualam...

No comments:

Post a Comment

Protected by Copyscape Plagiarism Software