Saturday, October 31, 2009

KAMI, MEREKA DAN RUMAH ITU........


Dah dua tahun peristiwa ini berlaku...tapi masih segar dalam ingatan...


Semuanya bermula apabila aku dan isteri berpindah ke Kuantan kerana mendapat tawaran kerja di Projek Lebuh Raya Pantai Timur. Kerja dengan syarikat pembinaan macam aku ni memang tak boleh lari dari berpindah randah.

Pejabat tapak berada di Cheneh, Kemaman Terengganu tetapi aku memutuskan untuk menyewa di Kuantan kerana aku ramai kenalan yang menetap disitu. Lagi pun taklah jauh sangat untuk aku berulang alik dari tempat kerja ke rumah yang memakan masa hanya 30 minit sahaja.

Kisah misteri ini mula terjadi apabila aku menyewa sebuah rumah teres setingkat di sebuah taman perumahan berdekatan dengan Bukit Goh. Pada pendapat aku rumah ini amat strategik kerana berhampiran dengan surau, taman kanak-kanak dan Tabika. Bagi aku taklah sunyi sangat bila isteri aku tinggal berseorangan semasa aku berkerja.

Peristiwa pertama yang berlaku....

Semasa keluarga iparku datang kerumah, anak buah aku Faiz yang berusia setahun kerap menangis apabila berada di dalam rumah. Kesian aku tengok budak tu, nangis sampai demam-demam. Lagi kuat nangis apabila menjelang tengah malam hingga ke awal pagi...tapi yang peliknya bila keluar rumah dia o.k pulak..tak demam pun.

Peristiwa kedua.....

Aku dan isteri kerap mendengar bunyi guli bergolek seolah-olah ada orang sedang bermain dengan guli tersebut. Semasa aku berjaga hingga lewat malam untuk menyiapkan kerja pejabat dirumah, aku juga kerap mendengar bunyi orang memasak didapur, siap dengan bunyi kuali dan sudip berlaga. Kadang-kadang dengar bunyi orang mandi dalam bilik mandi dibahagian dapur. Jelas sangat bunyi itu, tetapi apabila aku pergi menjenguk tidak pula kelihatan dan kedengaran apa-apa. Sedangkan aku yakin sangat bunyi itu datang dari bahagian dapur rumah. Bila aku buka cermin tingkap dapur, kelihatannya gelap gelita...tiada aktiviti dari rumah jiran-jiran. kadang-kadang bila mengadap komputer sorang-sorang hingga lewat malam, seringkali aku rasa seperti aku sedang diperhatikan.

Peristiwa ketiga.....

Isteri aku pernah memberitahu suatu petang, selepas keluar daripada bilik mandi, dia terlihat kelibat hitam sedang duduk di sofa ruang tamu yang kelihatan seperti Beruk hitam yang besar. waktu itu aku belum pulang dari kerja. Walaubagaimanapun aku memujuknya agar tidak fikir yang bukan-bukan..mungkin hanya mainan perasaannya saja....

Peristiwa keempat....

Aku dan isteri juga kerap mendengar suara tangisan bayi datangnya dari arah dapur dan bilik air di bilik tidur utama. suara bayi amat jelas. Yang peliknya jiran-jiran sekitar yang berhampiran memang tiada bayi kecil. Juga tiada orang yang baru bersalin.

Peristiwa kelima....

Semasa mengandung, isteriku sering bermimpi didatangi oleh kanak-kanak hitam telanjang yang memanjat serta menekan-nekan perut. Sakitnya sukar digambarkan, sehingga isteriku terjerit-jerit . Walaupun sebelum tidur isteriku sudah membaca ayat kursi, ayat 4 kul dan al fatihah 21x sebagai pendinding diri namun mimpi tersebut kerap muncul dan berulang-ulang.

Peristiwa keenam....

Selepas peristiwa tersebut, isteri aku keguguran. Selepas peristiwa keguguran, isteri aku didatangi mimpi sekali lagi. Kali ini muncul lembaga putih yang berambut panjang memberitahu bahawa dia telah mengambil bayi tersebut dan diakhiri dengan hilaian yang amat menakutkan.

Peristiwa ketujuh....

Aku membawa isteriku pulang ke kampung untuk berpantang dan berehat. Aku dan bapa mertua pergi berubat kaedah tradisional kampung dengan tujuan untuk memulihkan semangat namun cerita lain pula yang timbul. Menurut pengamal perubatan tersebut rumah yang aku duduki sebenarnya dihuni oleh 3 keluarga makhluk halus...dan setiap keluarga menduduki setiap bilik rumah tersebut dan setiap keluarga terdiri daripada ibu bapa serta anak-anak. Ini bermakna tanpa disedari, aku telah berkongsi rumah rupanya. Menurut pengamal perubatan itu, makhluk yang tinggal bersama aku adalah dari jenis jin islam atau dikenali sebagai bunian. Emm...patutlah aku baca ayat pendinding pun tak jalan...Surau pun kat depan rumah aku je...hari-hari azan dan orang mengaji...rupanya mereka ikut sama sembahyang dan mengaji...

Peristiwa kelapan....

Aku bersama bapa mertua dan dua orang ipar aku Nazrin dan Mat Nor telah bergerak kembali ke kuantan. Ada misi masa tu....misi kami ialah membuat pendinding ghaib untuk rumah tersebut. Kami bertolak awal pagi kerana kami perlu pulang sebelum senja menjelma. menurut pengamal perubatan tersebut sekiranya kami tidak dapat menyelesaikan tugasan ini maka makhluk halus tersebut akan dapat masuk kembali kedalam rumah. Nak tahu bahan-bahan yang digunakan untuk membuat pagar ghaib ini?. Antaranya ialah paku, garam, bertih padi, batang kelo, surah Yassin dan sedikit amalan ayat Quran dan doa-doa tertentu yang telah diajarkan. Ketika hendak pulang, kami terlihat kesan cakaran jari budak dicermin kereta wira aku yang dah lama tak guna dan berdebu. Yelah asyik pakai kereta projek je...sempat gak aku ambil gambar kesan cakaran itu.

Peristiwa kesembilan...


Seminggu kemudian aku pulang ke Kuantan bersama adikku Saiful kerana cuti ku telah habis dan kebetulan Saiful ingin mencari kerja di Kuantan pula. Isteriku pula masih tinggal di kampung buat sementara waktu. Kira-kira jam 12.30 malam aku masuk tidur kerana mengantuk dan keletihan. Saiful pula tidur di atas sofa diruang tamu. Tiba-tiba dalam jam 2 pagi aku terjaga dari tidur kerana terdengar satu dentuman yang kuat diikuti oleh bunyi gegaran dan goncangan pintu besi di bahagian dapur. Lama juga bunyi itu kedengaran...aku buat tak tahu sahaja...sebab aku tahu benda tu mesti marah sebab tak dapat masuk dalam rumah.

Peristiwa kesepuluh...


Malam esoknya...tiba-tiba aku tersedar lagi dari tidur apabila terdengar lagi bunyi yang sama tapi kali ini lebih awal sedikit kira-kira dalam pukul 1 lebih. Meremang gak bulu roma aku, tapi bila difikirkan benda tu kat luar...ahhh lantaklahh pergi main jauh-jauh SETANN...


Peristiwa kesebelas...

Beberapa bulan telah berlalu... Aktiviti kehidupan kami dirumah itu berjalan seperti biasa. Tiada apa2 yang pelik lagi berlaku. Sehinggalah pada suatu subuh apabila saiful yang bangun awal pagi untuk ketempat kerja telah melihat "aku" duduk disofa dalam gelap dengan memakai jubah putih. Apabila ditegur "aku" bangun lalu berjalan dan hilang menembusi dinding bilik. Emm...bila pulak aku belajar ilmu tembus dinding agaknya ye...

Peristiwa kedua belas...

Aku dan isteri pulang ke kampung untuk bercuti. Saiful tidak ikut bersama kerana berkerja. Saiful menceritakan...malam, semasa tinggal keseorangan dia sering mendengar dengan jelas bunyi orang mandi di dalam bilik air dapur yang bersebelahan dengan biliknya. Bila di jenggah bunyi itu hilang dan bilik air kelihatan seperti biasa dan kering. Pernah satu malam di terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi bising suara budak-budak bermain. Walaubagaimanapun apabila dia keluar, keadaan senyap sunyi dan gelap gelita.

Peristiwa ketiga belas...

Dua bulan selepas peristiwa kedua belas itu, isteri aku mula tidak dapat tidur malam. Selama tiga hari berturut-turut dia tidak boleh lelapkan mata. Setiap kali hendak lelapkan mata dia akan melihat budak-budak dalam 5 orang menarik tangan untuk ajak bermain di taman. Kadang-kadang kelihatan di kelilingi oleh lelaki berkopiah putih yang berdiri berhampiran katil. atas nasihat kawan aku Mat Kassim aku pergi berjumpa seorang pengamal perubatan Tradisional tempatan berhampiran rumah aku. Menurut Pak Cik tersebut pagar ghaib yang dibuat dulu telah boleh dimasuki semula oleh Makhluk itu. Jadi Pak Cik tu mencadangkan untuk membuat pagar Ghaib mengantikan pagar ghaib yang lama. Emm...macam tak nak percaya pun tak boleh juga...ikut aja lah mana yang terbaikkan...tapi tak sempat nak buat pun aku dah angkat barang pindah dari rumah tu...selamat tinggal housemate...

Peristiwa keempatbelas...

Aku bersama isteri ke Balok untuk berjumpa dengan tuan rumah bagi menyerahkan kunci. Emm...peliknya tuan punya rumah sendiri menyewa rumah orang...dan mereka meninggalkan satu soalan yang penuh mengandungi makna yang tersurat...."RUMAH TU O.K TAK ?. TAK BERLAKU APA-APA KE..?." Aku malas nak jawap dan cerita panjang cukuplah dengan apa yang telah berlaku dan aku rasa mereka tahu akan jawapannya. Aku percaya hanya Allah yang Maha Mengetahui atas setiap kejadian yang berlaku.....

Wallahualam....

:: Kenangan bersama keluarga semasa baru berpindah ke kuantan dan berlatar belakangkan Rumah Misteri ::

............................

Sekian

No comments:

Post a Comment