Wednesday, June 2, 2010

Kompang...



Sebut sahaja kompang, dalam fikiran kita terbayang majlis perkahwinan orang Melayu. Kompang sinonim dengan majlis-majlis keraian orang Melayu terutamanya semasa majlis perkahwinan atau menyambut tetamu kehormat. Tidak berseri rasanya sesuatu majlis keraian orang Melayu jika alat muzik tradisional ini tidak dipalukan.



Kompang merupakan sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi orang melayu sejak dari dulu lagi. Ia tergolong didalam kumpulan alat muzik gendang.

Alat muzik ini sebenarnya berasal dari tanah arab dan dipercayai telah dibawa masuk ke tanah melayu semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka oleh pedagang india muslim atau melalui Jawa pada abad ke 13 oleh pedagang Arab.Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing. Pada bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayudiselitkan seurat rotan. Tujuannya untuk menegangkan permukaan kompang dan bunyi kompang akan kedengaran dengan lebih kuat lagi. Dikala ini kerana dek sukarnya mendapatkan seurat rotan maka ia telah digantikan dengan gelung plastik.


Ukur lilit kompang ialah enam belas inci dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.


Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak lagu.

Bunyi yang berlainan akan dapat dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi 'bum' di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup atau dirapatkan. Bunyi 'pak' di perolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.

Paluan kompang terbahagi kepada dua bahagian iaitu paluan tradisi dan paluan moden ataupun kreatif. Paluan tradisi adalah paluan dimana memukul kompang sambil menyanyi ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahasa Melayu klasik. Paluan moden pula diselitkan dengan gerakan ataupun tarian berdasarkan rentak lagu melayu kini.

Kini warisan kesenian melayu ini makin sukar untuk dipertahankan. Generasi muda kini kurang ghairah untuk bermain kompang. Anggapan permainan kompang ini merupakan satu muzik yang kolot perlu dikikis daripada minda anak-anak muda kini. Penerapan nilai-nilai kemelayuan mesti diteruskan walau pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu diharungi bagi mempertahankan kesenian warisan melayu sejak zaman-berzaman.

Syabas diucapkan kepada persatuan-persatuan belia peringkat kampung, daerah dan negeri yang telah menubuhkan persatuan kompang bagi memastikan warisan berzaman ini terus berkekalan. Penganjuran aktiviti pertandingan kompang yang seringkali diadakan kini merupakan satu langkah yang positif dan perlu diberi galakan yang berterusan.



TH: Untuk menyaksikan permainan kompang jumputlah datang ke Melaka semasa majlis perkahwinan pastinya korang akan dapat menyaksikan kelainan dalam permainan kompangnya.

No comments:

Post a Comment

Protected by Copyscape Plagiarism Software