Friday, June 4, 2010

Unsur-unsur Tumbuhan dalam Perubatan Melayu...

Kali ini aku ingin menulis tentang unsur-unsur tumbuhan dalam perubatan melayu pula. Rasanya topik kali ini menarik juga sebab ada beberapa petua yang berkaitan dengan tumbuhan telah aku selitkan di akhir nukilan ini.

Bercakap dalam topik perubatan melayu ini, kita tidak dapat lari dari memperkatakan pertalian antara tumbuhan dengan kaedah perubatannya. Jika kita perhatikan keadaan sekeliling bumi melayu ini, terdapat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan bersifat herba yang boleh dijadikan sebagai penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Justeru itulah pengunaan tumbuhan bersifat herba telah digunakan secara meluas di dalam alam perubatan Melayu. Walaubagaimanapun keberkesanan pengunaan sesuatu tumbuhan herba bergantung kepada kemahiran dan pengetahuan oleh pengamalnya.

Pawang, bomoh dan dukun juga banyak mengaplikasikan bahagian-bahagian tumbuhan didalam upacara atau ritual pengubatannya. Pada kebiasaannya terdapat beberapa tumbuhan telah digunakan sebelum memulakan sesuatu upacara rawatan. Antara tumbuhan yang biasa mereka gunakan ialah kunyit, limau purut, sirih, beras , mayang kelapa dan lain-lain lagi. Bahan-bahan tersebut akan dijampi terlebih dahulu sebelum dijadikan sebagai penawar dan dipercayai juga dapat menghalau gangguan makhluk halus dan sebagainya.

Orang melayu juga kaya dengan warisan petua yang mengunakan tumbuhan sebagai resepi perawatannya. Petua atau pesan orang-orang tua ini merupakan warisan kepada anak cucu mereka bagi menjalani kehidupan didunia ini yang penuh dengan pelbagai ragam dan dugaan.

Banyak yang kita telah warisi petua-petua dari orang-orang terdahulu yang melibatkan pengunaan tumbuhan sebagai suatu alat perawatan. Petua-petua ini telah terbukti akan berkesanannya. Walaubagaimanapun semasa mengamalkan petua-petua ini, kita memerlukan kesabaran kerana ada antaranya akan menunjukkan keberkesanan dalam jangka masa yang panjang. Perlu diingatkan bahawa kadangkala keberkesanan petua orang dulu-dulu ini juga bergantung kepada keserasian tubuh seseorang.

Dibawah ini aku sertakan beberapa petua orang melayu yang mengunakan unsur-unsur tumbuhan didalam kaedah rawatannya. Petua ini adalah bertujuan untuk penjagaan kecantikan terutamanya kepada kaum hawa.

Dari pengalaman aku, terdapat juga sesetengah dari pada ramuan-ramuannya akan diadunkan bersama dengan bacaan doa, jampi serampah atau mentera bagi meningkatkan kemujaraban dan keampuhan perawatan. Bagi orang Islam seeloknya kita mulakan dengan bacaan bismillah dan selawat keatas nabi dan kemudian berdoa agar ramuan-ramuan tersebut dapat dijadikan sebagai ubat dan penawar penyembuhan bagi masalah yang sedang dihadapi.


Antara unsur-unsur tumbuhan dalam kaedah rawatan melayu ialah:-


Beras

Boleh digunakan untuk merawat jerawat batu. Caranya ialah dengan menumbuk sedikit beras hingga halus. Campurkan beras halus tadi dengan sedikit air lalu disapukan kepada jerawat batu tersebut. Lakukan tiga kali seminggu sebelum tidur.



Kulit Buah Rambai


Boleh digunakan untuk mengatasi masalah jerawat dan jeragat. Caranya ialah keringkan kulit buah rambai dan kisar sehingga halus. Kemudian campurkan dengan sedikit air masak lalu sapukan ke muka. Sila amalkannya selama dua kali seminggu.




Daun Teh

Boleh digunakan untuk menaikkan seri muka. Caranya ialah dengan merendam daun teh semalaman. Selepas bangun dari tidur korang sapukan air rendaman tadi ke seluruh muka sebelum mandi. Hasilnya wajah korang akan menjadi lebih licin dan kelihatan segar.



Daun Sirih Muda


Dapat menyegarkan mata yang letih dan kegatalan. Caranya ialah dengan mengambil beberapa helai daun sirih muda, cuci bersih-bersih dan ramas. Masukkan ke dalam air suam dan tapis airnya. Rendamkan mata dalam air tapisan tadi.



Air Kelapa Muda

Dapat mengatasi bibir yang merekah. Caranya ialah dengan mencampurkan air kelapa muda tadi dengan kuning telur dan sedikit madu lebah. Amalkan sekali setiap hari sehingga bibir korang tidak merekah lagi.




Bunga Tebu Hitam


Dapat mengekalkan kehitaman rambut. Caranya ialah dengan mendapatkan bunga tebu hitam yang dimasak dan dengan minyak kelapa dan disapukan ke rambut. Insyaallah rambut korang akan kekal hitam.





Daun Bunga Raya


Dapat mengatasi rambut gugur. Caranya ialah dengan membersihkan daun bunga raya yang hijau dan kemudian ramaskan dalam segayong air. Sapukan rambut dengan air ramasan tadi dan biarkan selama 5 minit dan kemudiannya barulah dibilas.

Dapat mengurangkan panas akibat demam terutamanya kepada kanak-kanak. caranya ialah sama seperti kaedah diatas dan sapu rata ke kepala. Insyallah panas akan berkurangan.




Air Kelapa Tua


Dapat mengatasi rambut beruban dan berkelimumur. Caranya ambil secawan air kelapa muda dan gosokkan perlahan-lahan pada kulit kepala. Amalkan setiap hari atau 3 kali seminggu. Insyaallah masalah kelimumur dan uban akan hilang.


Kangkung

Dapat melembutkan rambut. Caranya, ambil secekak kangkung dan bersihkan. Masukkan kedalam bekas air suam sebanyak enam camca dan ramas sehingga keluar lendir. Sapukan lendir ke seluruh rambut dan biarkan seketika. Kemudian bilas dengan air bersih. Amalkan selama 2 minggu.




Tepung Ubi dan Timun

Dapat menegangkan kulit muka. Caranya ialah ambil tepung ubi dan mentimun. Sagat mentimun dan campurkan dengan tepung ubi dengan sedikit air. Kacau rata dan jangan terlalu cair. Sapukan ke muka dan biarkan kering. Kemudian basuh muka. Insyaallah kulit akan semakin putih dan kelihatan segar.




Kayu Manis, Kunyit hidup dan B
eras pulut

Dapat menegangkan kulit muka. Caranya ialah campurkan sedikit kulit kayu manis, seketul kunyit hidup dan sedikit beras pulut. Kesemua bahan ini di tumbuk lumat. Sapukan ke muka dan leher. Amalkan dua kali seminggu.







Lobak Merah


Dapat merawat kulit yang berkedut. Caranya ialah dengan memarut sebatang lobak merah yang telah di bersihkan. Campurkan dengan sesudu tepung jagung dengan sebiji telur kuning. Sapukan ke muka sekali setiap hari. Amalkan sehingga berkesan.


Kulit Pisang


Dapat dijadikan sebagai losyen untuk kulit yang kering atau bertompok. Caranya ialah cuci dan potong kulit pisang kepada potongan yang kecil. Masukkan ke dalam setengah cawan susu segar dan kisar hingga sebati. simpan ramuan ini ke dalam botol dan sejukannya.


Jagung Muda dan Tomato


Dapat pulih kulit yang melecur akibat terbakar. Caranya ialah parut jagung muda dan tomato dan ambil patinya. Gaul dengan satu camca madu. Sapukan pada kulit yang terbakar. Biar selama beberapa minit. Bilas dengan air bersih. Lakukan setiap hari sehingga ia berhasil.




Daun Kelapa


Dapat memutihkan gigi. Caranya bakar daun kelapa dan ambil abunya untuk digosokkan kepada gigi.



Kulit Manggis


Kulit manggis juga dapat digunakan untuk memutihkan gigi. Caranya dengan membakar kulit manggis dan ditumbuk halus. Jadikan sebagai ubat gigi.



Limau Nipis


Dapat mencerah dan melicinkan kulit. Caranya ialah ambil sebiji limau nipis dan belah dua. Gosokkan kemuka dan seluruh badan. Insyaallah kulit akan cerah, licin dan harum.
Dapat mengempiskan perut yang buncit. Caranya ialah hanya perlu minumair perahan limau nipis kedalam teh tanpa gula setiap hari dengan kadar yang sesuai.






Asam Jawa

Dapat menghilangkan parut. Caranya, ambil sedikit asam jawa dan ramas bersama sedikit air. Jangan terlalu cair. Sapukan ke tempat berparut dan biar hingga kering. Seelok lakukan sebelum tidur. Dengan meminum air asam jawa juga dapat memulihkan sakit tekak.



Belimbing Buluh

Dapat mengatasi tumit pecah. Caranya ialah dengan mengosokkan tumit kaki dengan menggunakan belimbing buluh dan berus tumit tadi dengan berusnya lembut. Amalkan setiap hari sebelum mandi.


TH: Dilain Entri TH akan hidangkan lagi pelbagai petua2 untuk tatapan korang key...

No comments:

Post a Comment

Protected by Copyscape Plagiarism Software