Sunday, January 24, 2010

Pengorbanan Dalam Kenangan

Baru-baru ini aku berkesempatan mengunakan laluan FT4 atau lebih dikenali sebagai Lebuhraya Timur Barat, iaitu laluan dari Jeli ke Grik untuk ke Perlis. Itulah pertama kali aku mengunakan laluan tersebut dari Kemaman, Terengganu ke Jeli Kelantan terus ke negeri Kedah, melalui Grik, Perak.

Apa yang mengkagumkan aku ialah pemandangan di sepanjang laluan tersebut yang amat indah. Sepanjang perjalanan aku ditemani oleh gunung-ganang, bukit bukau yang berbalam-balam, hutan belantara yang kehijauan dan disulami oleh kabus nipis dan kadang kala menebal yang bergerak perlahan. Indahnya bumi Malaysia. Betapa beruntungnya aku rasa kerana dilahirkan di negara ini.

Sebenarnya bukan keindahan laluan disepanjang FT4 yang ingin aku ceritakan disini tetapi apa yang lebih penting dari itu. Ya, lebih penting daripada keindahan yang dapat kita kecapi kini. Apa yang aku maksudkan adalah pengorbanan. Pengorbanan segelintir anak bangsa yang sudi mempertaruhkan nyawa demi pembangunan dan masa depan negara.

Dalam perjalanan pulang, aku berkesempatan untuk singgah melihat sebuah tugu yang dibina untuk memperingati jasa mereka-mereka yang telah terkorban semasa menyiapkan laluan FT4 ini. Terkejut juga aku bila melihat angka yang tercedera malah ada yang terkorban semasa menyiapkan laluan Grik ke Jeli ini.

Rupanya laluan yang indah ini penuh dengan sejarah tragisnya, antara air mata dan darah. Air mata dari ahli keluarga mangsa dan darah merah dari tubuh mereka yang tercedera dan terkorban. Terima Kasih wahai Perwira Negara. Semoga jasa baktimu ini tidak dipersiakan oleh anak cucumu kelak. Al-Fatihah kepada arwah-arwah mereka yang telah terkorban.



~Tugu Peringatan di letakkan ditepi laluan FT4 di dalam Daerah Grik~


~Catatan yang terdapat pada Tugu Peringatan~

~Pemandangan gunung-ganang yang memukau pandangan, di sebalik gunung- ganang tersebut terletaknya negara Thailand~

~Mungkin inilah lokasi serang hendap pihak komunis terhadap pasukan tentera dan JKR~

~Jambatan Tasik Banding~

~Tasik Banding, Hulu Perak~



~Kubu peninggalan anggota keselamatan, berhampiran Tasik Banding~


~Orang Asli Tasik Banding mengunakan laluan FT4 untuk mencari rezeki. Nampak tak sumpit tu...?~

............................................................


Catatan yang tertulis....

PENGORBANAN DALAM KENANGAN

JALAN RAYA TIMUR BARAT (1970-1982)

Jalan Raya Timur Barat (Gerik-Jeli) telah dibuka kepada lalu lintas pada 1hb Julai 1982. Banyak nyawa telah terkorban semasa kerja pembinaan dilaksanakan mulai tahun 1970.

Ada yang terkorban semasa kemalangan didalam kerja pembinaan dan ada yang diserang oleh pengganas komunis.

Di lokasi ini, 63 buah mesin jentolak tanah telah diletupkan oleh pengganas komunis pada 23hb Mei 1974. Di lokasi ini juga 3 nyawa pekerja JKR telah terkorban dan beberapa lagi cedera dalam serangan pengganas pada 27hb Ogos 1974.

Beberapa serangan lain telah juga berlaku di sepanjang Jalan Raya Timur Barat yang melibatkan nyawa dan kecederaan pekerja JKR dan anggota Pasukan Keselamatan. Kita memperingati semua yang telah berkorban nyawa bagi menjayakan pembinaan Jalan Raya Timur Barat ini.

Sila sedekahkan AL-Fatihah pada orang-orang yang terkorban disini.

...............................................

1 comment: