Friday, May 7, 2010

Misteri Rumah Atuk...4


Sambungan dari MRA 4

Cerita ni aku dengar dari ayah aku masa tengah dok sembang-sembang sambil minum petang.

Ceritanya begini...

Rumah atuk berada dalam dusun buah-buahan. Boleh dikategorikan rumah dalam dusunlah ni. Dusun atuk memang luas. Bermacam-macam jenis buah-buahan yang ditanamnya. Semuanya telah matang dan telah mengeluarkan hasil. Kalau musim buah-buahan ada sebahagian pokok buah-buahan tersebut telah dipajak oleh atuk kepada peraih-peraih cina dan sebahagiannya di jual sendiri di tepi jalan raya Ulu Langat-Cheras Bt9.

Didalam dusun juga terdapat 2 buah kolam ikan. Bermacam jenis ikan yang dibela oleh atuk. Kalau teragak hendak makan ikan darat jala je kat kolam. Nenek pasti akan buat gulai dari ikan-ikan tersebut. Pehh..teringat gulai arwah nenek...sodappp...

Apa yang misterinya kat dusun atuk aku ni ialah walaupun dusunnya luas tapi tak pernah dengar ada orang menceroboh untuk mencuri buah-buahan yang sedang masak ranum terutamanya buah durian yang telah gugur. Kolam-kolam ikan yang terletak jauh dari rumah atuk, dihujung dusun yang dipenuhi semak samun juga tak pernah ada yang sudi mencuri-curi untuk menjala atau memancing tanpa kebenaran.

Menurut kata ayah aku, sebenarnya pernah ada orang luar yang cuba menceroboh masuk untuk mencuri buah-buahan dan ikan di kolam tersebut tapi malangnya mereka tidak berjaya untuk membawa keluar hasil curian tersebut. Kerana apa...

Pada suatu pagi, ayah yang waktu itu masih bujang lagi telah pergi ke dusun bersama atuk untuk mengutip buah durian yang gugur. Ketika sampai ke hujung dusun tiba-tiba mereka melihat kelibat orang mundar-mandir disebalik semak berhampiran kolam. Mereka segera menghampiri ke arah kelibat-kelibat tersebut...Alangkah terkejutnya ayah aku bila melihat tiga orang sedang mundar-mandir berpusing-pusing di kawasan belukar berhampiran kolam ikan. Seorang membawa guni berisi durian seorang membawa jala dan seorang lagi membawa sumpit berisi ikan.

Datuk segera menegur mereka. Melihat sahaja atuk, mereka terus sahaja berlari dan memeluknya. Dengan wajah penuh kelesuan mereka memohon kemaafan diatas perbuatan mereka. Wajah penyesalan terpampang jelas diriak wajah mereka.

Menurut mereka, malam tadi mereka telah menceroboh masuk ke dusun atuk dan mengambil buah durian yang gugur dan menjala ikan dikolam. Menurut kata mereka, malam tadi bulan terang jadi keadaan dusun yang terang benderang telah memudahkan lagi kerja mereka. Namun sangkaan mereka meleset kerana ketika ingin membawa hasil curian keluar, mereka perasan tidak menemui jalan keluar. Mereka berpusing-pusing di tempat yang sama. Sehinggalah mereka keletihan dan terserempak dengan atuk.

Setelah faham apa yang berlaku lantas atuk mengambil air dari kolam sambil membaca sesuatu dan kemudiannya menyapu ke muka mereka bertiga. Selepas itu barulah mereka nampak laluan untuk keluar dari dusun semula. Menurut ayah aku, mereka bernasib baik kerana atuk cepat menjumpai mereka kalau tidak mungkin mereka berpusing-pusing di tempat yang sama entah sampai bila. Atuk telah memaafkan mereka dan menasihatkan sekira mereka ingin mengambil buah-buahan dari dusunnya perlulah meminta keizinan darinya terlebih dahulu kerana perbuatan mencuri adalah salah. Islam tidak mengajar umatnya mencuri harta benda milik orang lain. Sekali lagi mereka memohon kemaafan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut lagi. Sebelum mereka pulang, atuk sempat memberi mereka semua buah durian dan ikan yang telah dicuri.

Menurut kata ayah aku lagi, dusun atuk ni walaupun tidak berpagar tetapi sebenarnya telah dipasang dengan pagar ghaib. Tujuannya untuk mengelakan dusun dari penceroboh yang berniat tidak baik atau binatang buas yang mungkin akan merosakan tanaman. Mungkin itu cara orang dulu-dulu menjaga dusun agaknya. Kita di zaman sekarang mungkin boleh guna teknologi moden seperti pagar eletrik bagi mengelakkan haiwan liar memasuki dusun, tak pun dengan pagar yang berduri bagi mengelakkan penceroboh. Betul tak... Wallahualam....


TH: Nasib baik tak kena minum air kaki tuan ampunya barang yang dicuri macam dalam setengah kes tu...kalau tak naya ooo...

No comments:

Post a Comment